Skip to main content

Dunia

Selatan California isytihar darurat susuli ribut musim sejuk dahsyat

Gabenor California Gavin Newsom pada Rabu (24 Dis) mengisytiharkan darurat bagi beberapa kawasan di selatan California yang dilanda ribut dahsyat pada musim cuti dalam tempoh beberapa tahun, lapor Xinhua.
Anggaran Waktu Membaca:
Selatan California isytihar darurat susuli ribut musim sejuk dahsyat
Gabenor California Gavin Newsom mengisytiharkan darurat bagi beberapa kawasan di Selatan California. (Gambar: REUTERS)
Diterbitkan : 25 Dec 2025 07:49PM
LOS ANGELES: Gabenor California Gavin Newsom pada Rabu (24 Dis) mengisytiharkan darurat bagi beberapa kawasan di selatan California yang dilanda ribut dahsyat pada musim cuti dalam tempoh beberapa tahun, lapor Xinhua.

Pengisytiharan darurat itu dikuatkuasakan di daerah Los Angeles, Orange, Riverside, San Bernardino, San Diego dan Shasta.

Beberapa jalan utama di seluruh selatan California ditutup akibat banjir atau aliran lumpur, manakala arahan pemindahan dikeluarkan bagi beberapa masyarkat yang terjejas oleh cuaca buruk itu.

Beribu-ribu penduduk Los Angeles dilaporkan terputus bekalan elektrik ketika ribut melanda wilayah berkenaan.

"Siri fenomena sungai atmosfera telah membawa hujan berintensiti tinggi dan angin kencang ke seluruh negeri di kawasan tanah yang sudah tepu, sekali gus meningkatkan risiko banjir, tanah runtuh, aliran serpihan serta kenaikan paras anak sungai dan sungai dengan cepat," kata Encik Newsom dalam satu kenyataan media.

Beliau menambah bahawa kawasan di selatan California yang mengalami kebakaran baru-baru ini pula berdepan ancaman lebih tinggi berlaku kejadian aliran lumpur berikutan hujan lebat yang berterusan.

Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass turut mengisytiharkan darurat tempatan bagi memastikan bandar itu mempunyai sumber mencukupi dalam beberapa hari akan datang.

Amaran meluas banjir mendadak turut dikeluarkan di seluruh selatan California.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat menyatakan amaran jarang berlaku iaitu "Risiko Tinggi" hujan lebat kekal berkuat kuasa hingga pagi Khamis, meliputi sebahagian besar selatan California termasuk kawasan metropolitan Los Angeles.

Selain itu, hujan lebat juga dijangka menyebabkan kejadian runtuhan batu dan aliran lumpur berbahaya di seluruh selatan California sehingga Hari Krismas, agensi itu memberi amaran.

"Ribut pertama sedang beralih keluar dari kawasan ini, namun satu lagi ribut dijangka tiba lewat malam ini dan berterusan sehingga Hari Krismas," katanya pada Rabu.

"Hujan dijangka beransur reda menjelang awal Sabtu, diikuti keadaan yang lebih kering dan panas."
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita