Skip to main content

Dunia

Selangor siap sedia 796 Pusat Pemindahan Sementara bagi hadapi banjir

Anggaran Waktu Membaca:
Selangor siap sedia 796 Pusat Pemindahan Sementara bagi hadapi banjir

Keadaan banjir di Malaysia. (Gambar hiasan: BERNAMA)

SHAH ALAM: Seramai 15,972 anggota meliputi pelbagai agensi pusat dan negeri akan ditempatkan di seluruh Selangor bagi menghadapi bencana berikutan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Muhamad Shah Osmin berkata bahawa setiap anggota terlibat akan dipersiapkan khususnya dalam menguruskan sebarang kemungkinan berlaku banjir besar pada hujung tahun itu seperti yang diramal Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini.

"Persiapan tahun ini kita laksana lebih awal terutama dari segi menyiapkan anggota, bukan sahaja di peringkat negeri malah di peringkat daerah seperti ketua kampung dan wakil penduduk yang juga boleh lakukan kerja-kerja pengurusan," katanya selepas program Latih Amal dan Simulasi Bencana Selangor pada Rabu (28 Sep).

Muhamad Shah berkata bahawa 164 bot akan disediakan serta ditempatkan di semua daerah, ia tidak termasuk aset lain seperti lori dan kenderaan pacuan empat roda yang akan turut diagihkan.

Menurutnya lagi, 796 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diselia Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah diwartakan, boleh menampung kira-kira 151,000 mangsa.

Mengenai program yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu, Muhamad Shah berkata bahawa ia membabitkan 343 peserta daripada 67 agensi yang terlibat dari aspek komunikasi, perkhidmatan, peralatan dan aset dalam menghadapi bencana.

"Kami akan fokus kepada pengurusan komunikasi kerana berdasarkan dapatan postmortem, hasil kajian dan pemeriksaan di peringkat negeri mendapat ia elemen penting dalam pengurusan sesuatu insiden (bencana)."

"Sekiranya tidak dilaksanakan dengan baik teratur dan tertib, kita takut berlakunya masalah dalam sesuatu pengurusan bencana sebagai contoh bantuan tidak sampai pada mangsa, bagi mencari dan menyelamat pula anggota mungkin mencari di lokasi salah serta pengurusan pascabanjir tidak diuruskan di kawasan sepatutnya," katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita