Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Selangor negeri baru dilanda banjir

Anggaran Waktu Membaca:


KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di enam negeri yang terjejas banjir terus mencatatkan peningkatan, melibatkan 40,922 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Selangor menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu.

Di Johor, keadaan banjir dilihat semakin memburuk dengan jumlah mangsa yang terjejas terus meningkat kepada 37,322 orang setakat 8.00 pagi pada Sabtu (4 Mac) berbanding 34,849 mangsa pada 8.00 malam Jumaat (3 Mac).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan ia ekoran pertambahan 13 PPS, menjadikan 238 PPS beroperasi di sembilan daerah setakat ini.

Segamat kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 13,358 orang daripada 3,921 keluarga ditempatkan di PPS, diikuti Batu Pahat 7,368 orang daripada 2,136 keluarga, Kluang melibatkan 5,288 mangsa (1,534 keluarga) dan Kota Tinggi 3,292 orang (882 keluarga).

Turut terjejas, Muar dengan 3,330 orang (969 keluarga), Tangkak 2,661 orang (754 keluarga), Johor Bahru dengan 699 orang (226 keluarga), Mersing 964 orang (280 keluarga) dan Pontian 362 orang (91 keluarga).

Sebanyak 15 sungai di Segamat, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi turut melepasi paras bahaya.

Di Pahang, jumlah mangsa yang dipindahkan terus meningkat dengan 2,317 orang ditempatkan di 22 PPS pagi ini berbanding 2,186 orang di 21 PPS pada Jumaat malam.

Daerah Rompin kekal merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,905 orang diikuti Temerloh (254 orang), Pekan (106 orang), Bera (29 orang) dan Maran (13 orang).

Sementara itu, 10 orang ditempatkan di sebuah PPS di Jerantut yang dibuka malam semalam atas faktor keselamatan ekoran kenaikan air Sungai Tekam dan Sungai Siam.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir juga meningkat daripada 204 orang (50 keluarga) pada 8.00 malam Jumaat kepada 379 mangsa daripada 97 keluarga pada Sabtu pagi.

Sekretariat JPBN dalam kenyataan memaklumkan satu lagi PPS dibuka di Jasin sekitar 11.30 malam pada Jumaat berikutan berlakunya peningkatan mangsa banjir, menjadikan keseluruhan sebanyak enam PPS yang beroperasi di dua daerah tersebut.

Selangor, yang menjadi negeri terbaru terjejas bencana itu, menyaksikan 107 mangsa daripada 24 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Sungai Buloh dan Kuala Selangor.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, jumlah mangsa banjir terus merosot kepada 783 individu daripada 214 keluarga berbanding 867 individu daripada 235 keluarga di enam PPS setakat Sabtu pagi.

Jumlah mangsa banjir di Sarawak pula kekal 14 orang daripada lima keluarga setakat pagi ini dan ditempatkan di sebuah PPS.

Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan