Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Selangor jadi medan pertempuran sengit pada PRU15 M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Nov 2022 08:17PM Dikemas Kini : 11 Nov 2022 11:18PM
SUNGAI BULOH: Selangor semakin menjadi medan pertempuran sengit bagi Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia (PRU15), dengan 124 calon bertarung merebut 22 kerusi parlimen.

Malah, tiga perikatan utama yang bertanding meletakkan para anggota kabinet serta mantan menteri bagi menambat hati para penduduk bandar.

Selangor merupakan 'mahkota' Pakatan Harapan - negeri yang dikuasainya sejak 2008.

Pada pilihan raya Malaysia yang lalu, Barisan Nasional (BN) hanya mampu menang dua sahaja kerusi parlimen di Selangor.

Kali ini BN mengerahkan usaha lebih bertenaga apabila ia mencalonkan tokoh-tokoh besar yang diharap dapat menang lebih banyak kerusi.

Di Kuala Selangor, Menteri Kewangan Malaysia, Zafrul Aziz dijangka mendapat tentangan hebat.

Namun tetap tidak sehebat tentangan yang dihadapi Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, di Sungai Buloh.
Bertanding di Sungai Buloh satu risiko besar bagi Encik Khairy kerana kebanyakan pengundi adalah penduduk bandar, dan lebih separuh adalah bukan Melayu.

PH menang di Sungai Buloh sejak tiga PRU lalu, yang terakhir dengan kelebihan 26,000 undi.

Antara naratif yang kini dijual Encik Khairy kepada para pengundi Sungai Buloh ialah rekod kepimpinannya dan mahu menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas Ismail Sabri Yaakob.
Presiden BN, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya belum bersedia menerima naratif tersebut.

"Dia yang minta untuk bertanding di kerusi itu.
Itu makanya saya mengesahkan pencalonan dia di Sungai Buloh. Tapi sebagai bakal Perdana Menteri masa depan... Itu bergantung dengan Pilihan Raya yang berikut."
Satu lagi persaingan yang mendapat sorotan meluas adalah Gombak, di mana Pakatan Harapan meletakkan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari untuk merampas kerusi itu daripada Menteri Perdagangan Azmin Ali.

Encik Azmin dilihat sebagai salah seorang penggerak utama 'Langkah Sheraton' yang menumbangkan kerajaan PH dua tahun lalu.

Bekas sekutu Encik Azmin, Zuraida Kamaruddin juga menghadapi saingan sengit dalam pertandingan sembilan penjuru bagi kerusi parlimen Ampang.

Salah seorang calon adalah pakar risiko banjir, Dr Nurul Ashikin.

"Dengan ilmu yang saya untuk menangani banjir, saya berharap dapat berkhidmat kepada penduduk Ampang," kata Cik Nurul Ashikin.

Sementara itu bagi kerusi Pandan, orang nombor dua PKR Rafizi Ramli, muncul kembali selepas tidak bertanding pada pilihan raya Malaysia yang lalu.

Namun kembalinya mantan Presiden MCA, Ong Tee Keat, kali ini dengan tiket Parti Warisan, dijangka memecahkan undi Encik Rafizi.
Sumber : Agensi berita/IQ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan