Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Selangor gesa negeri-negeri lain ikut contoh S'pura dalam aspek aeroangkasa

Selangor menggesa negeri-negeri lain untuk bersamanya dalam membentuk jalinan ke arah mewujudkan kuasa aeroangkasa serantau dan menumpukan persaingan antarabangsa berbanding persaingan antara negeri.

Anggaran Waktu Membaca:
Selangor gesa negeri-negeri lain ikut contoh S'pura dalam aspek aeroangkasa

Encik Teng Chang Khim. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 05 Sep 2020 06:26PM Dikemas Kini : 05 Sep 2020 06:30PM

KUALA LUMPUR: Selangor menggesa negeri-negeri lain untuk bersamanya dalam membentuk jalinan ke arah mewujudkan kuasa aeroangkasa serantau dan menumpukan persaingan antarabangsa berbanding persaingan antara negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana negeri, Encik Teng Chang Khim berkata justeru, Invest Selangor bersedia membantu negeri-negeri lain.

“Selangor mempunyai 65 peratus daripada industri aeroangkasa Malaysia. Kami boleh menawarkan banyak bantuan memandangkan industri aeroangkasa mempunyai empat peringkat.

“Di Malaysia, kebanyakan peringkat satu iaitu yang tertinggi, berada di Selangor dan kita juga memerlukan peringkat dua dan peringkat tiga untuk benar-benar mewujudkan satu ekosistem,” katanya kepada Bernama pada Jumaat (4 Sep).

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu dalam rancangan The Nation yang disiarkan Bernama TV semalam yang membincangkan tajuk ‘Building Selangor as the Region's Investment Hub and Sustaining Investors’ Confidence amidst the Current Pandemic’ (Membangunkan Selangor sebagai Hab Pelaburan Serantau dan Mengekalkan Keyakinan Pelabur dalam keadaan Pandemik Semasa).

“Daripada yang saya lihat, negeri-negeri lain berusaha untuk bersaing dengan Selangor bagi peringkat satu. Saya menganggapnya sebagai persaingan yang tidak perlu dari segi pekerja mahir. Semua pekerja mahir lebih suka datang ke Selangor dan kebanyakan mereka berada di sini (di Selangor).

"Walaupun mereka (negeri lain) berjaya memperoleh peringkat satu, mereka mungkin tidak dapat sumber pekerja kerana kita sudah mempunyai ekosistem di sini. Bagi peringkat dua atau tiga yang tertentu, malah peringkat empat, kita sebenarnya boleh berkongsi dengan mereka (negeri lain), jadi seluruh Malaysia boleh menjadi satu ekosistem, berbanding (hanya) Selangor, ” katanya.

Encik Teng berkata syarikat peringkat satu atau dua harus dibenarkan melabur di Selangor, dan negeri-negeri lain mungkin menumpukan peringkat tiga dan empat, jadi seluruh ekosistem dapat meluas daripada hanya bertumpu di Selangor.

“Sekiranya negeri-negeri lain memperoleh peringkat satu, mereka mungkin terasing dan tidak benar-benar baik untuk pengembangan industri ini bagi jangka panjang di negeri-negeri tertentu," katanya.

Beliau berkata pusat data juga merupakan contoh lain bagi persaingan antara negeri.

Negeri-negeri lain perlu melihat kelebihan daya saing, faedah kerjasama dan menumpukan persaingan luar dari Malaysia, katanya.

Mengenai Selangor sebagai hab ekonomi serantau, beliau berkata negeri itu mempunyai kemudahan dan kepakaran.

"Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah mewujudkan penanda aras, dan penanda aras terbaik di rantau ini adalah Singapura. Lihatlah bagaimana mereka menjadi begitu cekap, dari sebuah negara kecil yang mencapai kemajuan sendiri,” katanya.

Beliau berkata Malaysia tidak kekurangan sumber namun berada di belakang Singapura kerana kekurangan kecekapan.

"Kita perlu mengatasi masalah ini dengan lebih menekankan digitalisasi," katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan