Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Selamat datang kembali, @realdonaldtrump!" - akaun Twitter Trump muncul semula

Anggaran Waktu Membaca:
"Selamat datang kembali, @realdonaldtrump!" - akaun Twitter Trump muncul semula

Gambar: Olivier Douliery/AFP/Getty Images

SAN FRANCISCO: Akaun Twitter terkenal Donald Trump dikembalikan semula pada Sabtu (19 Nov) selepas pemilik baru platform itu Elon Musk menjalankan tinjauan di mana majoriti tipis pengundi menyokong langkah itu, beberapa hari selepas mantan presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengumumkan satu lagi hasrat ke Rumah Putih.

Akaun Trump diharamkan daripada platform itu awal tahun lalu kerana peranannya dalam serangan 6 Januari ke atas Capitol AS oleh sekumpulan penyokongnya yang berusaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020.

"Rakyat sudah bersuara. Trump akan dikembalikan semula," kata Musk di Twitter, sejurus selepas tinjauan 24 jam pada akaunnya berakhir.

"Vox Populi, Vox Dei," tambahnya, mengulangi pepatah Latin yang turut disiarkannya Jumaat lalu, yang bermaksud 'Suara rakyat adalah suara Tuhan'.

Lebih 15 juta daripada 237 juta pengguna Twitter harian mengundi sama ada mahu mengembalikan semula profil kontroversi Trump, dengan 51.8 peratus menyokong dan 48.2 peratus menentang.

Encik Trump mempunyai lebih 88 juta pengguna apabila akaunnya digantung. Beliau memang gemar menggunakan Twitter semasa menjadi presiden, menyiarkan pengumuman dasar, menyerang pesaing politik dan berkomunikasi dengan penyokong.

Pada Sabtu, beberapa sekutu politiknya menyambut kepulangan beliau di platform berkenaan.

"Selamat datang kembali, @realdonaldtrump!" tulis Anggota Kongres Republican, Paul Gosar.

Tinjauan Musk meminta jawapan 'ya' atau 'tidak' ringkas kepada kenyataan 'Kembalikan semula mantan Presiden Trump', yang disiarkan hartawan Twitter itu Jumaat lalu.

Musk sebelum ini juga mengemukakan tinjauan serupa pada masa lalu, di mana beliau bertanya kepada pengikutnya sama ada beliau harus menjual saham dalam syarikat kereta elektriknya Tesla.

Menyusuli tinjauan pendapat itu, beliau menjual lebih daripada AS$1 bilion (S$1.38 bilion) saham.
Sumber : Agensi berita/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan