Sekutu NATO tingkat usaha perkukuh pelan pertahanan selepas Amerika tarik balik komitmen
Para sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Eropah sebahagian besarnya telah mengisi jurang yang disebabkan oleh pengunduran Amerika Syarikat dalam pelan pertahanan perikatan tersebut, kata panglima tertinggi NATO pada Khamis (2 Jul), sambil menambah bahawa blok tersebut sedang meneliti langkah-langkah alternatif untuk menangani kekurangan dalam beberapa bidang yang masih berbaki.
Sebuah pesawat pejuang F-15 Tentera Udara Amerika Syarikat di pangkalan udara tentera Ämari, Estonia, pada 1 Februari 2022. (Gambar: REUTERS/Ints Kalnins)
"Dalam tempoh beberapa minggu, sekutu-sekutu Eropah sebahagian besarnya telah merapatkan jurang yang disebabkan oleh pengurangan Amerika Syarikat terhadap Model Pasukan NATO," kata panglima tertinggi NATO, Jeneral Tentera Udara Amerika Syarikat Alexus Grynkewich, dalam maklumat yang diberikan kepada Reuters apabila diminta mengulas berhubung perkara itu.
"Dan dalam beberapa bidang yang masih belum diisikan, di mana mereka pada masa ini tidak mempunyai keupayaan yang sama untuk menggantikannya, kami sedang meneliti keupayaan alternatif dengan kesan yang setara."
Amerika Syarikat memaklumkan sekutu-sekutunya pada Mei bahawa ia telah memutuskan untuk mengurangkan kumpulan keupayaan ketenteraan yang diperuntukkan kepada perikatan rentas Atlantik itu semasa krisis, sekali gus menimbulkan persoalan mendesak sedang para pemimpin bersiap sedia untuk menghadiri Sidang Puncak NATO di Ankara pada 7 hingga 8 Julai.
Langkah itu bertujuan untuk menamatkan "kebergantungan bersama yang tidak sihat" terhadap tentera Amerika Syarikat secara beransur-ansur sedang Washington berdepan kemungkinan konflik serentak di beberapa medan pertempuran, menurut Encik Grynkewich.
Pada pertengahan Jun, Setiausaha Agung NATO Mark Rutte berkata sekutu-sekutu lain sedang meningkatkan sumbangan mereka dan akan mengisi "banyak" daripada jurang tersebut, namun tidak memberikan sebarang butiran.
Memetik sumber NATO, Reuters melaporkan pada Rabu bahawa NATO akan mengumumkan semasa sidang puncak Ankara pada minggu depan bahawa para anggota Eropah telah mengisikan hampir kesemua jurang yang ditinggalkan Amerika Syarikat dalam pelan pertahanan perikatan itu.
Jurang utama yang masih sukar ditangani NATO melibatkan pesawat pengebom strategik, di mana Amerika Syarikat menyatakan ia hanya akan menyediakan satu pesawat berbanding dua sebelum ini, kata sumber itu yang bercakap atas syarat identitinya tidak didedahkan.
PENGURANGAN KEUPAYAAN KETENTERAAN
Amerika Syarikat tidak mendedahkan secara terbuka butiran pengurangannya, namun ia merangkumi pesawat mengisi minyak, jet pejuang, dron dan kapal, menurut angka yang diberikan kepada Reuters oleh satu sumber tentera.
Jumlah jet pejuang F-15 dan F-15E Amerika Syarikat yang disediakan untuk NATO akan dikurangkan sepertiga kepada 99, manakala jumlah dron MQ-4 dan MQ-9 Reaper dikurangkan separuh kepada 12, menurut sumber itu.
Jumlah pesawat mengisi minyak KC-135 dan KC-46 turun kepada 63 daripada 79, manakala hanya satu pengebom strategik dan kapal induk akan diperuntukkan, berbanding dua sebelum ini.
Jumlah pesawat rondaan maritim berkurangan kepada 15 daripada 26, jumlah kapal pemusnah turun kepada sembilan daripada 17, manakala satu-satunya kapal selam yang dilengkapi peluru berpandu kruis turut dikeluarkan daripada komitmen tersebut.
Perikatan NATO kini berdepan tekanan yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan beberapa negara Eropah bimbang Washington mungkin melaksanakan ancaman yang dibuat berulang kali oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menarik diri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.