Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekurang-kurangya 1 daripada 10 wanita alami keguguran, menurut kajian baru

Satu daripada setiap 7 kehamilan berakhir dengan keguguran. Namun tanggapan salah bahawa ia sangat jarang berlaku membawa kesan buruk, seperti pasangan itu menyalahkan diri sendiri dan tidak dapat sokongan atau jagaan sewajarnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangya 1 daripada 10 wanita alami keguguran, menurut kajian baru

Gambar hiasan wanita hamil. (Gambar: AFP/Loic Venance)

Diterbitkan : 09 May 2021 09:30PM Dikemas Kini : 09 May 2021 10:57PM

LONDON: Satu daripada setiap tujuh kehamilan di dunia berakhir dengan keguguran, manakala 11 peratus wanita pernah mengalami keguguran sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka, kata para pakar baru-baru ini (27 Apr).

Sekitar 23 juta keguguran berlaku setiap tahun, menurut data yang dikumpul dari seluruh dunia oleh pasukan antarabangsa yang terdiri daripada 31 penyelidik itu.

Namun jumlah sebenarnya mungkin "jauh lebih tinggi" kerana sebilangan kes tidak dilaporkan, kata pakar berkenaan menerusi tiga kajian yang diterbitkan menerusi jurnal The Lancet.

Dua peratus wanita atau satu daripada setiap 50 orang pernah mengalami dua kali keguguran, sementara kurang satu peratus mengalami tiga keguguran atau lebih.

TANGGAPAN SALAH YANG MEMBAHAYAKAN

Dalam pada itu, ada banyak salah tanggap mengenai keguguran. Tahap penjagaan bagi wanita yang mengalami keguguran juga berbeza di dunia bahkan dalam kalangan negara-negara mewah.

Sebagai contoh, ramai wanita percaya bahawa ia jarang berlaku, atau ia boleh disebabkan oleh perbuatan mengangkat barang yang berat atau kesan penggunaan pencegah kehamilan.

Mereka juga mungkin berpendapat bahawa tiada rawatan berkesan untuk mencegah keguguran, terutama dalam kalangan wanita yang berisiko tinggi.

Salah tanggapan itu amat berbahaya menyebabkan wanita dan pasangan mereka merasa bersalah dan mereka tidak mahu mendapatkan rawatan dan sokongan, menurut nota pengarang.

Keguguran juga boleh menyebabkan seseorang mengasingkan diri, memandangkan banyak wanita tidak mahu memberitahu ahli keluarga, teman rapat, atau pasangan mereka mengenai kejadian itu.

Keguguran lazimnya merujuk sebagai kehamilan yang gugur sebelum usia kandungan 20 hingga 24 minggu.

Bagaimanapun, tempoh usia kandungan itu berbeza mengikut negara.

TRAUMA DALAM DIAM

Semakan akademik yang diterbitkan hingga pertengahan Mei 2020 mengenal pasti banyak penyebab keguguran, termasuk ibu yang lanjut usia, pernah mengalami keguguran, dan bapa yang berusia lebih 40 tahun.

Faktor risiko lain yang berkaitan adalah berlebihan berat badan atau sebaliknya, merokok, minum arak, mengalami tekanan berterusan, kerja syif malam, dan pendedahan berterusan kepada pencemaran udara atau racun perosak.

Kesan pada kesihatan berpotensi berat, terutamanya bagi wanita yang mengalami keguguran kali dua atau berulang kali.

"Wanita boleh mengalami trauma dan tempoh berduka yang amat sangat tetapi tidak menunjukkan tanda yang jelas dan tidak dapat dikenal pasti."

Bagi sekitar 20 peratus wanita, mereka juga mengalami rasa gelisah, kemurungan dan gangguan tekanan sembilan bulan selepas keguguran.

SUDAH TERLALU LAMA TIDAK DIBERI PERHATIAN

Pengarang ketiga-tiga kajian berkata bahawa kebanyakan data tersebut datang dari negara-negara mewah, namun "kebungkaman di sekitar keguguran" berlaku di mana-mana.

Mereka menyarankan agar pihak berkuasa kesihatan nasional memperkukuh khidmat penjagaan selepas keguguran, membaiki kajian tentang pencegahan, dan mengenal pasti wanita yang berisiko tinggi.

"Sudah terlalu lama isu keguguran tidak mendapat perhatian, diremehkan dan sering diketepikan," tulis The Lancet .

"Kurangnya kemajuan perubatan sememangnya mengejutkan - namun sebaliknya, terdapat penerimaan yang meluas."

"Era di mana wanita diberitahu supaya 'cuba lagi' sudah berakhir," tegas The Lancet. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan