Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya seorang maut, polis Myanmar guna peluru hidup surai penunjuk perasaan

 Serbuan polis di sebuah limbungan kapal di kota kedua terbesar Myanmar, berubah menjadi ganas pada Sabtu (20 Feb) apabila pihak berkuasa melepaskan tembakan menggunakan peluru betul dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya seorang maut, polis Myanmar guna peluru hidup surai penunjuk perasaan

(Gambar: AP)

Diterbitkan : 20 Feb 2021 08:38PM Dikemas Kini : 20 Feb 2021 08:59PM

MANDALAY: Serbuan polis di sebuah limbungan kapal di kota kedua terbesar Myanmar, berubah menjadi ganas pada Sabtu (20 Feb) apabila pihak berkuasa melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan.

Seorang lelaki mati akibat cedera di kepala, menurut khidmat kecemasan Mandalay dan kakitangan media.

Sekurang-kurangnya lima orang cedera terkena peluru getah, menurut seorang jurugambar di tempat kejadian manakala kakitangan perubatan yang merawat mangsa yang cedera mengesahkan sekurang-kurangnya enam yang lain ditembak menggunakan peluru betul, dua daripadanya cedera parah.

Seorang doktor mengesahkan penggunaan peluru hidup di tempat kejadian.

Myanmar dicengkam keganasan sejak tentera menggulingkan pemimpin, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari, menyebabkan ratusan ribu orang berhimpun di jalan-jalan raya untuk memberi tekanan kepada junta.

Pihak berkuasa telah memberkas ratusan orang, kebanyakannya pekerja perkhidmatan awam yang tidak datang kerja sebagai sebahagian daripada gerakan keingkaran awam.

Pada Sabtu, ratusan polis berkumpul di limbungan kapal Yadanarbon di Mandalay, di sungai Irrawaddy.

Kehadiran mereka mencetuskan rasa cemas dalam kalangan penduduk berhampiran, bahawa pihak berkuasa akan cuba menahan pekerja yang mengambil bahagian dalam gerakan anti rampasan kuasa itu.

Para penunjuk perasaan riuh dengan mengetuk periuk belanga sebagai tanda bantahan dan memekik menghalau polis dari kawasan itu.

Polis bagaimanapun berbalas dengan melepaskan tembakan peluru getah dan lastik untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Sekurang-kurangnya lima cedera dengan pekerja kecemasan segera memberi rawatan kepada seorang wanita yang cedera di kepala.

Satu rakaman video yang siarkan secara langsung di Facebook oleh seorang penduduk menunjukkan tembakan bertalu-talu tanpa henti.

Sejak bantahan merata Myanmar dilancarkan dua minggu lalu, pihak berkuasa di beberapa bandar telah melepaskan gas pemedih mata, meriam air dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan.

Sumber : AFP/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita