Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekurang-kurangnya 53 orang maut dalam banjir di Iran

16 orang masih dilaporkan hilang selepas banjir selama dua hari menjejas 400 bandar dan kampung di 18 daripada 31 wilayah Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 53 orang maut dalam banjir di Iran

Para penyelamat di kawasan banjir kilat di Emamzadeh Davoud pada 29 Jul 2022. (Gambar: Persatuan Bulan Sabit Merah/AFP)

Diterbitkan : 30 Jul 2022 07:37AM Dikemas Kini : 30 Jul 2022 07:37AM
TEHRAN: Pekerja menyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang hilang di Iran pada Jumaat (29 Jul) selepas tanah runtuh dan banjir yang melanda akibat hujan lebat meragut sekurang-kurangnya 53 nyawa, menurut pihak berkuasa.

Ketua operasi kecemasan di Persatuan Bulan Sabit Merah, Mehdi Valipour, memberitahu televisyen negara bahawa 16 orang masih dilaporkan hilang selepas banjir selama dua hari menjejas 400 bandar dan kampung di 18 daripada 31 wilayah Iran, lapor Reuters. Banyak lebuh raya juga ditutup.

Kawasan paling teruk terjejas pada Jumaat ialah Firouz Kooh, di kaki Gunung Alborz, di mana sekurang-kurangnya 10 orang maut, dedah gabenor Tehran Mohsen Mansouri kepada televisyen negara.

Beliau kemudian dipetik oleh agensi-agensi berita tempatan sebagai berkata sekitar enam orang juga dilaporkan hilang.

Banjir masih terus melanda di bahagian utara wilayah Tehran, jelasnya, sambil menambah meskipun wujud amaran berulang, para pendaki masih menuju ke arah Firouz Kooh.

Bandar Firouz Kooh, iaitu sekitar 140 kilometer dari Tehran, adalah tempat percutian yang digemari dalam kalangan pengunjung disebabkan suhu musim panas yang agak dingin. Jejak alam di kawasan itu juga terkenal dalam kalangan pendaki.

Media tempatan menyatakan sekurang-kurangnya lapan orang maut pada Khamis dalam tanah runtuh yang disebabkan banjir di kampung Imamzadeh Davood, yang terletak di bahagian barat laut dari Tehran, yang juga memusnahkan tugu agama di sana. Seramai 14 orang dilaporkan hilang.

Pada Sabtu lalu, banjir kilat di wilayah Fars meragut 22 nyawa.
Sumber : Reuters/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa