Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekurang-kurangnya 44 maut dalam banjir Turki; misi pencarian diteruskan

Selepas menghadapi ratusan kebakaran hutan di kawasan pesisiran tenggara, Turki bergelut pula dengan banjir kilat di utara laut Hitam.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 44 maut dalam banjir Turki; misi pencarian diteruskan

Kemusnahan akibat banjir di bandar Boskurt di wilayah Kastamonu, Turki pada 14 Ogos 2021. (Gambar: Ismail Coskun/IHA via AP)

Diterbitkan : 14 Aug 2021 09:00PM Dikemas Kini : 14 Aug 2021 09:07PM

BOZKURT: Selepas menghadapi ratusan kebakaran hutan di kawasan pesisiran tenggara, Turki bergelut pula dengan banjir kilat di utara laut Hitam.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 44 orang maut dalam banjir terburuk Turki sejak beberapa tahun ini, di wilayah Kastamonu dan Sinop yang berdekatan.

Mereka yang kehilangan anggota keluarga melihat dengan penuh bimbang ketika pasukan penyelamat meneruskan pencarian pada Sabtu (14 Ogos) dalam bangunan-bangunan yang musnah.

Rakaman dron Reuters menunjukkan kemusnahan dahsyat di bandar Bozkurt, bandar kecil yang terletak di tebing sungai Ezine wilayah Kastamonu, 2.5 kilometer dari Laut Hitam.

Seramai 36 orang maut di daerah Kastamonu yang merangkumi Bozkurt, dan lagi tujuh orang mati di Sinop dan satu di Bartin, kata Direktorat Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Di sebuah bangunan runtuh di tebing sungai, 10 orang masih dipercayai tertimbus. Air banjir yang deras nampaknya telah meruntuhkan asas beberapa blok perumahan yang lain.

Saudara-mara mereka yang belum ditemui menanti berdekatan bagi sebarang khabar berita.

"Ini tidak pernah berlaku. Tiada kuasa (elektrik). Telefon bimbit tidak berfungsi. Anda tidak boleh terima sebarang berita daripada sesiapa," kata Ilyas Kalabalik, seorang penduduk berusia 42 tahun.

"Kami tidak tahu sama ada air naik, sama ada ia membanjiri bangunan ke tidak. Kami sekadar menunggu, seperti ini. Anak bini kami panik. Apabila matahari terbit saja, kami ternampak anggota polis. Mereka ambil kami dari bangunan dan pindahkan kami ke sebuah stesen minyak."

Encik Kalabalik dikelilingi penduduk lain yang saling bertanya antara satu sama lain sama ada mereka terdengar sebarang khabar tentang orang yang hilang.

Air deras menghanyutkan puluhan kereta dan timbunan serpihan di sepanjang jalan, memusnahkan jambatan, menghadang jalan dan memutuskan bekalan elektrik ke ratusan kampung. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan