Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 37 penduduk Gaza maut dalam serangan terbaharu Israel

Agensi Pertahanan Awam Gaza mengatakan sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dalam serangan Israel pada Sabtu (9 Ogos), termasuk 30 orang awam yang sedang beratur untuk mengambil bantuan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Aug 2025 07:54AM Dikemas Kini : 10 Aug 2025 10:34PM
GAZA: Agensi Pertahanan Awam Gaza mengatakan sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh dalam serangan Israel pada Sabtu (9 Ogos), termasuk 30 orang awam yang sedang beratur untuk mengambil bantuan.

Jurucakap pertahanan awam Gaza Mahmud Bassal memberitahu AFP bahawa 12 orang terbunuh dan hampir 200 cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul dekat lintasan sempadan di utara Gaza yang dijadikan sebagai tempat penghantaran bantuan.

Lagi enam orang maut dan 30 cedera selepas tentera Israel menyasarkan orang awam yang berhimpun di tempat pengagihan bantuan di tengah Gaza, katanya.

Dalam satu serangan di Khan Younis, bandar di selatan Gaza pula, sekurang-kurangnya tiga orang maut dan beberapa lagi cedera dalam serangan dron.

Sekatan terhadap pihak media di Gaza dan kesukaran mengakses sebahagian wilayah itu bermakna AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas jumlah korban jiwa dan butiran yang disediakan oleh pasukan pertahanan awam itu dan tentera Israel.

Ribuan penduduk Palestin berkumpul setiap hari berhampiran tempat-tempat pengagihan bantuan di Gaza, termasuk empat yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.

Sejak dilancarkan pada lewat Mei lalu, operasi GHF dicemari oleh laporan-laporan bahawa tentera Israel menembak orang awam yang beratur untuk mengambil bantuan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berdepan tekanan meningkat agar Israel bersetuju mencapai gencatan senjata bagi menyelamatkan lebih juta penduduk Gaza yang kini di ambang kebuluran dan membebaskan tebusan yang ditahan oleh Hamas.

Namun, pada awal Jumaat (8 Ogos), kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan untuk melancarkan operasi besar-besaran untuk merampas Bandar Gaza, sekali gus mencetuskan gelombang kemarahan di seluruh dunia.

Walaupun berdepan tentangan hebat dan khabar angin bahawa beberapa pegawai kanan Israel membantah tindakannya itu, Encik Netanyahu tetap berpegang teguh pada keputusannya.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita