Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekurang-kurangnya 36 maut selepas kereta api tergelincir di Taiwan

Sekurang-kurangnya 36 maut selepas kereta api tergelincir di Taiwan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 36 maut selepas kereta api tergelincir di Taiwan

Kereta yang membawa lebih 300 penumpang tergelincir di Taiwan. (Gambar: Facebook/林銘鋒)

Diterbitkan : 02 Apr 2021 01:30PM Dikemas Kini : 02 Apr 2021 02:29PM

TAIPEI: Sebuah kereta api tergelincir dalam terowong di timur Taiwan pada Jumaat (2 Apr), dengan sekurang-kurangnya 36 orang dikhuatiri maut sejauh ini dan lebih 20 yang cedera.

Demikian menurut jabatan bomba Taiwan.

Kereta api itu, yang sedang menghala ke Taitung, tergelincir dalam terowong di utara Hualien menyebabkan beberapa gerabak merempuh tembok terowong itu, menurut jabatan bomba dalam kenyataannya.

Dalam kemas kini operasi menyelamat itu, polis menyatakan 36 penumpang dikategorikan sebagai mengalami "serangan jantung di luar hospital" - istilah untuk seseorang yang tidak menunjukkan sebarang tanda hidup.

Menurut polis, 72 orang masih terperangkap dalam gerabak kereta api manakala 61 penumpang sudah dikejarkan ke hospital.

Kereta api itu membawa sekitar 350 orang dan kerja-kerja menyelamat masih dijalankan, menurut jabatan bomba itu.

Kemalangan itu berlaku di laluan kereta api di timur Taiwan pada sekitar 9.30 pagi.

Satu rakaman video singkat yang dikirimkan oleh Pusat Operasi Kecemasan Pusat dari dalam terowong itu menunjukkan para penyelamat tiba di tempat kejadian dan juga sebuah pintu gerabak yang terpintal.

Satu lagi siaran langsung oleh rangkaian berita UDN menunjukkan sekurang-kurangnya dua gerabak tidak rosak di luar terowong dengan para penyelamat membantu penumpang melepaskan diri.

(Gambar: Facebook/林銘鋒)

(Gambar: Facebook/林銘鋒)

Pentadbiran Kereta Api Taiwan mengeluarkan kenyataan berasingan menyatakan "ramai" penumpang tidak menunjukkan tanda-tanda hidup, sambil memetik jabatan bomba tempatan.

Pejabat Presiden Tsai Ing-wen menyatakan beliau sudah mengarahkan hospital-hospital supaya bersiap sedia untuk menerima ramai mangsa nahas tersebut.

"Keutamannya sekarang adalah untuk menyelamatkan orang-orang yang terperangkap," menurut pejabat itu dalam kenyataan tersebut.

Antara 80 dengan 100 orang sudah dikeluarkan daripada empat gerabak kereta api, sementara gerabak lima hingga lapan sudah "remuk" dan sukar untuk dimasuki, menurut jabatan bomba.

Media tempatan melaporkan nahas itu dipercayai berpunca daripada kenderaan binaan yang tergelincir daripada benteng jalan raya dan melanggar kereta api sedang ia melalui terowong tersebut.

Gambar-gambar di lokasi menunjukkan bahagian belakang lori berwarna kuning terbalik ke tepi bersebelahan kereta api.

"Kereta api kami bertembung dengan lori," kata seorang lelaki menerusi video yang disiarkan stesen televisyen Taiwan, menunjukkan gambar-gambar bangkai kenderaan tersebut. "Lori itu terjatuh".

Bahagian depan kereta api itu berada di luar terowong dan mereka yang terperangkap di dalam gerabak-gerabak dalam terowong dibantu keluar dengan selamat, menurut pentadbir kereta api Taiwan.

Gambar-gambar di tempat kejadian menunjukkan gerabak di dalam terowong hancur dan terbahagi dua kesan daripada kemalangan tersebut, penumpang mengumpulkan bagasi dan yang lain berjalan di landasan dengan serpihan-serpihan kereta api bertaburan.

Sebahagian penumpang terpaksa memanjat pintu, tingkap dan bumbung kereta api untuk menyelamatkan diri.

(Gambar: hsnews.com.tw via AP)

(Gambar: hsnews.com.tw via AP)

Kawasan pergunungan di timur Taiwan itu merupakan destinasi pelancongan popular.

Pada 2018, 18 orang maut dan 175 cedera apabila sebuah kereta api tergelincir di timur laut Taiwan, dalam nahas paling teruk melibatkan kereta api dalam tempoh lebih tiga dekad.

Pemandu kereta api lapan gerabak itu kemudian didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian akibat cuai.

Kemalangan itu adalah yang paling teruk di pulau tersebut sejak 1991, ketika 30 penumpang terkorban dan 112 cedera selepas dua kereta api bertembung di Miaoli.

Seramai 30 oang juga terkorban pada 1981 selepas sebuah lori bertembung dengan kereta api penumpang menyebabkan gerabak tercampak ke atas jambatan di Hsinchu.

Pada 2003, 17 maut dan 156 cedera setelah kereta api yang melalui gunung Alishan terjunam ke dalam gaung. 

Sumber : Reuters/NK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa