Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekurang-kurangnya 3 maut, 32,000 lagi kehilangan rumah akibat banjir di Sumatera

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Sekurang-kurangnya tiga orang meninggal dunia dan hampir 32,000 kehilangan tempat tinggal selepas hujan lebat turun mencurah-curah di pulau Sumatera, Indonesia.

Demikian menurut Agensi Bencana Indonesia pada Khamis (6 Jan). 

Penduduk daripada kawasan-kawasan yang ditenggelami banjir terus mendapatkan perlindungan di masjid-masjid dan bangunan-bangunan awam. 

Hujan lebat yang bermula di ambang tahun baru itu melanda beberapa bahagian pulau barat di kepulauan tersebut, terutama sekali wilayah Jambi dan Aceh. 

Walaupun hujan lebat menyebabkan banjir setiap tahun, pasukan penyelamat mengatakan hujan pada musim ini lebih lebat daripada biasa. Rakaman video yang dimuat naik ke media sosial oleh penduduk yang paling teruk terjejas di bahagian Aceh Utara menunjukkan kereta-kereta dan rumah ditenggelami air lumpur dan penduduk cuba untuk sampai ke tempat-tempat perlindungan dengan menaiki rakit sementara. 

"Kali ini, banjir terjadi pada skala yang lebih besar lagi," kata Ananda Justisiani, seorang jurucakap bagi pasukan bantuan kecemasan Aksi Cepat Tanggap di Aceh, kepada Arab News. 

"Keadaan sangat teruk sekali kerana sungai-sungai melimpah-ruah dan terdapat hujan yang lebih lebat. Oleh itu, paras air tidak turun." 

Beliau juga mengatakan bahawa banjir tersebut turut menjejas daerah-daerah lain di wilayah tersebut, khususnya Lhokseumawe, Aceh Tamiang, Aceh Tenggara dan Aceh Tengah. 

Data Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia pada Khamis menunjukkan lebih 31,800 orang kehilangan rumah akibat paras air yang semakin naik dan mengesahkan tiga kematian, kesemuanya kanak-kanak. 

Para pegawai Aksi Cepat Tanggap mengatakan jumlah nyawa terkorban meningkat kepada lima dan menganggarkan jumlah itu untuk terus naik, dengan sebahagian daerah tidak dapat dimasuki akibat hujan lebat. 

"Banjir sudah mula susut di sebilangan daerah, namun kebanyakan masih tenggelam," tambah Encik Justisiani kepada pihak Arab News. 

Di Aceh Utara, pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan keadaan darurat sehingga 15 Januari.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan