Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 28 maut susuli serangan udara Pakistan ke atas Afghanistan: PBB

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 28 maut susuli serangan udara Pakistan ke atas Afghanistan: PBB

Orang awam berhimpun dekat sebuah bangunan musnah selepas serangan, yang menurut Taliban, dilancarkan oleh Pakistan di Daerah Samkani, Wilayah Paktia, Afghanistan, 29 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Stringer)

Diterbitkan : 30 Jun 2026 06:55AM Dikemas Kini : 30 Jun 2026 06:58AM
KABUL: Sekurang-kurangnya 28 orang awam terkorban dan 49 lagi cedera dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Pakistan di kawasan sempadannya dengan Afghanistan, menurut kenyataan Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) pada Isnin (29 Jun).

Pasukan keselamatan Pakistan menyatakan mereka membunuh sekurang-kurangnya 29 militan dalam operasi darat dan udara di sepanjang sempadan Afghanistan. Namun, pihak Taliban Afghanistan pula mendakwa sekurang-kurangnya 38 orang awam terbunuh dalam serangan udara tersebut.

UNAMA memaklumkan bahawa jumlah mangsa yang terkorban atau cedera mungkin akan meningkat memandangkan pihak hospital masih terus merawat mangsa-mangsa yang cedera.

Serangan udara pada Ahad itu merupakan serangan kedua oleh Pakistan ke atas sasaran di Afghanistan, yang didakwa milik kumpulan militan. Keadaan ini dikhuatiri akan memburukkan lagi konflik yang kerap berlaku antara kedua-dua negara jiran itu, selepas mereka terlibat dalam pertempuran paling sengit dalam tempoh beberapa tahun pada Februari lalu.

Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar, menerusi catatan di laman X pada Isnin berkata, serangan udara Pakistan ke atas tiga sasaran di wilayah Paktia, Paktika dan Kunar di Afghanistan telah membunuh 25 militan serta memusnahkan "sejumlah besar" senjata dan peluru.

Empat lagi pejuang yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pecahan Taliban Pakistan, Jamaat-ul-Ahrar, terbunuh dalam serangan darat di daerah Bajaur, yang terletak di wilayah sempadan utara Pakistan, Khyber Pakhtunkhwa.

Kumpulan Taliban Pakistan, yang dikenali sebagai Tehreek-e-Taliban Pakistan, mengesahkan kematian salah seorang komandernya, Khan Ferosh, yang juga dikenali sebagai Zabul, dalam operasi di Bajaur pada Ahad.

Islamabad menuduh Kabul melindungi kumpulan militan yang didakwa merancang serangan di Pakistan. Bagaimanapun, pihak Taliban Afghanistan menafikan tuduhan tersebut dan menegaskan bahawa isu militan adalah masalah dalaman Pakistan sendiri.

TALIBAN AFGHANISTAN DAKWA SERANGAN KORBANKAN ORANG AWAM

Jurucakap pemerintah Afghanistan, Hamdullah Fitrat, berkata serangan itu telah mengorbankan 38 orang awam dan mencederakan 163 yang lain, termasuk golongan wanita dan kanak-kanak.

Beliau menjelaskan kebanyakan mangsa maut atau cedera apabila jet pejuang Pakistan mengebom sebuah rumah di wilayah Paktia, yang mengorbankan 28 orang dan mencederakan 158 yang lain.

Menurut timbalan ketua daerah Samkani yang terjejas, Khalid Ahmad Sajad, ketika penduduk tempatan sedang bergegas untuk membantu mangsa yang cedera, serangan kedua pula berlaku di kawasan yang sama.

"Semua orang sedang tidur apabila pesawat datang dan mula menyerang rumah ini. Di dalam rumah tersebut ada kanak-kanak, wanita, lelaki dan warga tua," kata seorang penduduk, Mata Khan.

Timbalan Menteri Penerangan Afghanistan, Mohajer Farahi, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa "serangan ini pastinya akan dibalas pada masa yang sesuai".

Sementara itu, Encik Ataullah berkata Pakistan bertindak balas terhadap "beberapa insiden keganasan yang berlaku baru-baru ini". Ini termasuk serangan bom dan senjata api pada Sabtu yang menyasarkan pangkalan pasukan keselamatan Sindh Rangers di bandar selatan Karachi, yang mengorbankan tiga anggota separa tentera dan mencederakan empat yang lain. Serangan di Karachi itu disahkan dilakukan oleh kumpulan Jamaat-ul-Ahrar.

"Pasukan keselamatan telah melancarkan serangan jitu ke atas kem-kem pengganas dan tempat persembunyian mereka," katanya dalam satu mesej di laman X.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita