Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 28 maut dalam kebakaran di kilang kasut China

Satu kebakaran yang berlaku di sebuah kilang kasut di timur China pada Khamis (9 Jul) meragut nyawa sekurang-kurangnya 28 orang, menurut media tempatan di China, selepas puluhan anggota bomba dan penyelamat bergegas untuk memadamkan kebakaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 28 maut dalam kebakaran di kilang kasut China

Gambar yang diterbitkan oleh Agensi Berita Xinhua memaparkan anggota bomba di tempat berlakunya kebakaran di sebuah kilang kasut di Jinjiang pada 9 Julai 2026. (Gambar: AP/Xinhua/Zheng Liang)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 10:46PM
BEIJING: Satu kebakaran yang berlaku di sebuah kilang kasut di timur China pada Khamis (9 Jul) meragut nyawa sekurang-kurangnya 28 orang, menurut media tempatan di China, selepas puluhan anggota bomba dan penyelamat bergegas untuk memadamkan kebakaran.

Selang beberapa jam selepas kebakaran itu berlaku di kilang Huiteng Shoes pada kira-kira waktu tengah hari tadi, terdapat kebimbangan jikalau masih ada individu yang terperangkap dalam bangunan di bandar Jinjiang di wilayah Fujian itu.

Presiden China Xi Jinping berkata kebakaran itu menyebabkan "banyak kematian", dengan agensi berita tempatan di China, Xinhua kemudian memetik angka korban awal seramai 28 orang.

Rakaman video yang diterbitkan oleh siaran televisyen tempatan CCTV menunjukkan ahli bomba menyembur air pada bahagian hadapan dan dalaman sebuah bangunan besar yang berwarna putih menggunakan hos air bomba, sementara asap hitam tebal berkepul-kepul keluar.

Orang ramai dilihat berlindung berhampiran tingkap dan bumbung bangunan itu, manakala api terus marak menjejas tingkat bawah bangunan itu.

Kementerian Pengurusan Kecemasan China menyatakan dalam satu kenyataan bahawa pasukan bomba dan penyelamat mengerahkan 183 anggota dan 35 kenderaan ke tempat kejadian.

Encik Xi, dalam komen yang diterbitkan oleh Xinhua berkata terdapat "banyak kematian" dan menyeru agar usaha mencari dan menyelamat dipertingkatkan.

Rakaman langsung yang disiarkan oleh CCTV menunjukkan bangunan hangus dijilat api dengan asap tebal berkepul-kepul keluar daripada tingkap yang sudah pecah.

"Punca kejadian perlu dikenal pasti secepat mungkin dan... mereka yang bertanggungjawab harus dipertanggungjawabkan," kata Encik Xi.

Kebakaran itu sedang dipadamkan, menurut kementerian pengurusan kecemasan, sambil menyeru agar usaha "sepenuhnya" dilaksanakan untuk memadamkan kebakaran itu, mencari mangsa yang terperangkap dan merawat mereka yang cedera.

Beberapa individu terperangkap dan "tidak dapat dihubungi", lapor Xinhua.
Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita