Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 23 maut susuli serangan udara ke atas biara Buddha di Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 23 maut susuli serangan udara ke atas biara Buddha di Myanmar

Penduduk periksa runtuhan sebuah bangunan biara Buddha yang terkena serangan udara tentera di desa wilayah Sagaing di Myanmar pada 11 Julai 2025. (Gambar: UGC via AP)

BANGKOK: Satu serangan udara ke atas sebuah biara Buddha di wilayah Sagaing tengah Myanmar membunuh sekurang-kurangnya 23 orang yang berlindung di kawasan itu, menurut sumber berasingan pada Jumaat (11 Jul).

Serangan udara semalaman ke atas biara di kampung Lin Ta Lu, di perbandaran Sagaing wilayah Sagaing itu, mencederakan kira-kira 30 yang lain, yang mana 10 daripadanya berada dalam keadaan kritikal, menurut seorang anggota kumpulan bersenjata.

Anggota penentang itu – yang enggan namanya didedahkan – memberitahu The Associated Press bahawa 23 orang awam termasuk empat kanak-kanak terbunuh selepas sebuah jet pejuang menjatuhkan bom sekitar pukul 1.00 pagi (2.30 pagi, waktu Singapura) pada sebuah bangunan dalam biara kampung itu di mana lebih 150 orang dari kampung berdekatan berlindung untuk mengelak pertempuran di wilayah itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Media online bebas Myanmar, Democratic Voice of Burma melaporkan bahawa angka kematian mungkin setinggi 30 orang. Namun ia tidak dapat segera disahkan.

Pihak tentera tidak segera mengulas mengenai insiden di biara itu, yang terletak kira-kira 35km barat laut Mandalay, bandar kedua terbesar di negara itu. Sebelum ini, tentera menyatakan ia hanya menyerang sasaran perang yang sah, menuduh pasukan penentang sebagai pengganas.

Myanmar berada dalam kekacauan sejak tentera merampas kuasa daripada pemerintah yang dipilih Aung San Suu Kyi pada Februari 2021, mencetuskan perang saudara. Selepas tunjuk perasaan aman ditumpaskan dengan kekerasan sehingga membawa maut, ramai penentang pemerintahan tentera mengangkat senjata, dan sebahagian besar negara kini terlibat dalam konflik.

Tentera semakin banyak menggunakan serangan udara untuk menentang pasukan pembangkang, termasuk Angkatan Pertahanan Rakyat bersenjata di wilayah Sagaing, kubu kuat penentangan bersenjata. Pihak penentang tidak mempunyai pertahanan yang berkesan terhadap serangan udara.

Serangan biara itu berlaku beberapa minggu selepas ratusan tentera mengambil bahagian dalam serangan dengan kereta kebal dan pelbagai pesawat di kawasan kira-kira 5km dari Lin Ta Lu untuk mendapatkan semula wilayah yang dikawal oleh kumpulan penentang.

Ribuan orang dari kampung berdekatan sudah dipindahkan ke bandar dan kampung lain, termasuk Lin Ta Lu, kata pejuang penentang itu.

Nay Phone Latt, jurucakap Pemerintah Perpaduan Nasional pembangkang, memberitahu AP bahawa rejim tentera cuba menawan semula kawasan yang dikawal oleh penentang menjelang pilihan raya umum yang dirancang akhir tahun ini.

Tinjauan itu secara meluas dilihat sebagai percubaan untuk menormalkan rampasan kuasa tentera melalui peti undi dan untuk menghasilkan keputusan yang memastikan para jeneral mengekalkan kawalan.
Sumber : AP/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita