Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekurang-kurangnya 23 cedera dalam pertembungan penunjuk perasaan, polis Thailand

Polis antirusuhan Thailand menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan yang cuba memotong kawat berduri dan mengalih penghadang konkrit di luar Bangunan Parlimen di sini, menyebabkan sekurang-kurangnya 23 cedera, termasuk lima akibat ditembak.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 23 cedera dalam pertembungan penunjuk perasaan, polis Thailand

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 18 Nov 2020 07:49AM Dikemas Kini : 18 Nov 2020 07:55AM

BANGKOK: Polis antirusuhan Thailand menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan yang cuba memotong kawat berduri dan mengalih penghadang konkrit di luar Bangunan Parlimen di sini, menyebabkan sekurang-kurangnya 23 cedera, termasuk lima akibat ditembak.

Ratusan penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul di luar Parlimen semasa Ahli Parlimen membincangkan usul untuk meminda perlembagaan sejak pukul 3.00 petang (waktu tempatan) pada Selasa (17 Nov).

Terdahulu polis sudah mengeluarkan amaran tidak membenarkan penunjuk perasaan berada 50 meter dari Bangunan Parlimen.

Walaupun diberi amaran, penunjuk perasaan antikerajaan itu tetap berkumpul di dua tempat iaitu Kiak Kai dan Samsen Road, yang terletak berhampiran Parlimen dan mula mengalihkan penghadang.

Polis antirusuhan menembak meriam air diikuti gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan yang memakai topi keledar dan topeng yang cuba memotong kawat berduri.

Penunjuk perasaan yang marah dengan tindakan polis itu, kemudiannya bertindak membaling bom asap berwarna serta botol air ke arah polis.

Ambulans kelihatan membawa mereka yang cedera ke hospital. Pusat Perubatan Erawan di Bangkok melaporkan, sekurang-kurangnya 12 orang cedera akibat gas pemedih mata dan lima mengalami kecederaan akibat tembakan di pergelangan tangan, kaki serta perut manakala selebihnya mengalami kecederaan lain. Kesemua mereka menerima rawatan di hospital berdekatan.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata setelah penunjuk perasaan tidak menghiraukan amaran berulang kali dan cuba membolosi halangan untuk memasuki kawasan Parlimen.

"Polis berulang kali memberi amaran kepada mereka (penunjuk perasaan) supaya tidak masuk tetapi mereka tidak mengendahkannya dan berusaha memusnahkan penghadang. Itulah sebabnya polis mengambil tindakan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Sementara itu, kumpulan menyokong Raja, berpakaian t-shirt kuning yang berkumpul di luar Bangunan Parlimen membantah pindaan perlembagaan, bertembung dengan penunjuk perasaan antikerajaan di Kiak Kai Road.

Saksi melaporkan, kedua-dua kumpulan dilihat saling membaling botol air dan batu.

Sejak pertengahan Julai, penunjuk perasaan antikerajaan telah mengadakan perhimpunan di Bangkok dan bandar-bandar lain mengulangi tuntutan untuk perubahan politik, termasuk perdana menteri meletakkan jawatan, pembubaran Parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi kepada sistem beraja.

Pemimpin tunjuk perasaan, Parit Chiwarak mengumumkan berakhirnya perhimpunan hari ini di luar Bangunan Parlimen kira-kira 9 malam (waktu tempatan).

"Perhimpunan besar akan diadakan secara berterusan, mulai esok," katanya kepada penunjuk perasaan.

Peguam hak asasi manusia Arnon Nampa yang merupakan antara pemimpin tunjuk perasaan yang baru-baru ini dibebaskan dari penjara meminta penunjuk perasaan berkumpul di daerah perniagaan Bangkok, Ratchaprasong, pada Rabu, pukul 4.00 petang (waktu tempatan).

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan