Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 19 maut dalam nahas libatkan bas di Thailand, PM Paetongtarn arah siasatan dijalankan

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengarahkan siasatan ke atas kemalangan bas yang membawa maut di wilayah tengah Prachin Buri.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 19 maut dalam nahas libatkan bas di Thailand, PM Paetongtarn arah siasatan dijalankan

Bas yang terlibat dalam nahas tersebut membawa seramai 47 orang penumpang dan dua pemandu dari wilayah Bueng Kan. (Gambar:Facebook/Pejabat Perhubungan Awam Wilayah Prachinburi)

Diterbitkan : 26 Feb 2025 03:20PM Dikemas Kini : 26 Feb 2025 03:21PM
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengarahkan siasatan ke atas kemalangan bas yang membawa maut di wilayah tengah Prachin Buri. Sekurang-kurangnya19 nyawa terkorban pada Rabu (26 Feb), menurut laporan media tempatan Khaosod.

Kemalangan terbabit berlaku pada sekitar pukul 3.20 pagi waktu tempatan di daerah Nadi di Prachin Buri, menurut Pusat Keselamatan Jalan Raya Prachin Buri.

Prachin Buri terletak kira-kira tiga jam dari Bangkok.

"Jika didapati ada pelanggaran penggunaan kenderaan yang tidak memenuhi piawaian atau penggunaan kenderaan secara cuai, tindakan undang-undang akan diambil," tulis Cik Paetongtarn di media sosial X.

Media tempatan melaporkan bahawa bas tersebut membawa 47 penumpang dan dua pemandu dari wilayah Bueng Kan, yang terletak bersebelahan Sungai Mekong di timur laut Thailand. Bas tersebut berada dalam perjalanan bagi "lawatan pembelajaran masyarakat" ke wilayah Rayong di pantai timur Thailand.

Kenderaan itu juga dilaporkan sebagai salah satu daripada tiga bas dua tingkat yang membawa pegawai kerajaan tempatan.

Media tempatan melaporkan bahawa pemandu bas hilang kawalan sedang ia memandu turun di satu bahagian gunung Khao San Pu Ton, sebelum bas terjunam keluar dari jalan raya ke arah cerun lalu terbalik.

Kumpulan tersebut bertolak dari wilayah Bueng Kan pada sekitar pukul 5.00 petang, hari sebelumnya.

Kenyataan awal oleh Pejabat Perhubungan Awam Wilayah Prachin Buri menyatakan bahawa 16 orang meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Media tempatan The Nation melaporkan bahawa anggota polis tempatan dan penyelamat membawa mangsa yang terjejas, termasuk mereka yang cedera, ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Sedramai 19 mangsa dikejarkan ke Hospital Nadi manakala 13 lagi dihantar ke Hospital Kabin Buri, menurut Bangkok Post.

Jalan yang terjejas juga sedang dibersihkan untuk memudahkan lalu lintas sementara punca kemalangan disiasat, menurut Pejabat Perhubungan Awam Wilayah Prachin Buri, pada Rabu.

Ketua Daerah Nadi Somjai Putthasena juga mengesahkan bahawa bas yang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah sebahagian daripada kumpulan lawatan pembelajaran dari Majlis Perbandaran Phon Charoen di wilayah Bueng Kan.

Seramai 200 orang terlibat dalam perjalanan lawatan pembelajaran Projek Pengembangan Bank Sisa Komuniti selama lima hari yang dianjurkan Majlis Perbandaran Phon Charoen di Bueng Kan, menurut laporan Bangkok Post.

Khaosod juga melaporkan bahawa cerun gunung Khao San Pu Ton, di mana kemalangan tersebut berlaku, adalah tempat di mana kemalangan kerap berlaku.

Pemandu hilang kawalan kenderaan selepas brek gagal berfungsi, menurut laporan Khaosod.

Kemalangan terbaharu itu berlaku kira-kira empat bulan selepas nahas yang melibatkan bas sekolah di pinggir bandar Bangkok.

Pada Oktober 2024, 23 orang, kebanyakannya kanak-kanak, terbunuh selepas sebuah bas sekolah terbakar.

Bas tersebut membawa enam guru dan 39 pelajar sekolah rendah dan menengah rendah, dalam perjalanan dari wilayah Uthai Thani, kira-kira 300km utara Bangkok untuk lawatan sekolah ke wilayah Ayutthaya dan Nonthaburi.

Kebakaran bermula ketika bas berada di lebuh raya utara ibu negara tersebut dan merebak dengan begitu cepat sehingga ramai yang tidak dapat melarikan diri.

Polis Thailand memberkas pemandu bas dan mendakwanya atas pemanduan cuai yang menyebabkan kematian dan kecederaan.

Menurut AFP, Thailand berada di tempat kesembilan daripada 175 negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi kematian akibat kemalangan jalan raya, seperti yang dicatatkan dalam laporan 2023.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita