Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 12 maut, lebih 30 cedera dalam kebakaran bas di India

Anggaran Waktu Membaca:
MUMBAI: Sekurang-kurangnya 12 orang maut dan dua mangsa dalam keadaan kritikal selepas sebuah bas terbakar di bandar Nashik di wilayah barat India Maharashtra pada Sabtu (8 Okt).

Demikian dimaklumkan oleh seorang pegawai polis kepada Reuters.

Lebih 30 mangsa yang cedera sedang dirawat di sebuah hospital awam tempatan manakala siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan, menurut seorang lagi pegawai di bilik kawalan polis di Nashik, kira-kira 190 kilometer (km) utara ibu negara kewangan India, Mumbai.

Bas tersebut terbakar selepas melanggar lori tangki diesel, menurut laporan media tempatan.

Rakaman video di media sosial menunjukkan bas itu dijilat api.

"Sayu dengan tragedi bas di Nashik. Saya turut berdukacita dengan mereka yang kehilangan orang tersayang dalam nahas itu," kata Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam hantaran Twitter beliau.

Beliau menambah bahawa keluarga mangsa yang meninggal dunia akan menerima 200,000 rupees (S$3,438) manakala mangsa yang cedera akan menerima 50,000 rupees (S$864) setiap seorang.

"Semoga mereka yang cedera dapat pulih secepat mungkin. Pentadbiran tempatan akan menyediakan semua bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas," tulis Encik Modi.

Ketua Menteri Maharashtra, Eknath Shinde dalam kenyataan berasingan mengatakan bantuan kewangan sebanyak 500,000 rupees (S$8,649) akan diberikan untuk keluarga mangsa yang maut dan pemerintah akan membayar rawatan buat mangsa yang cedera.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita