Sekurang-kurangnya 12 maut dalam nahas bas di Indonesia selepas brek gagal berfungsi: Polis
Sebuah bas yang membawa 34 penumpang hilang kawalan semasa menuruni jalan curam lalu terbalik di wilayah Sumatera Barat, Indonesia pada Selasa (6 Mei), mengorbankan sekurang-kurangnya 12 nyawa dan mencederakan yang lain, menurut pihak polis.
Orang ramai memeriksa bangkai bas penumpang yang hilang kawalan ketika menuruni jalan curam di Padang Panjang, wilayah Sumatra Barat, Indonesia, pada 6 Mei 2025. (Gambar: AP/M Sulthan Azzam)
Bas antara wilayah itu berada dalam perjalanan dari Medan di wilayah Sumatera Utara ke ibu kota Indonesia, Jakarta, apabila breknya dipercayai gagal berfungsi berhampiran sebuah terminal bas di bandar Padang, kata Pengarah Polis Trafik Sumatera Barat, Reza Chairul Akbar Sidiq.
Kata beliau, siasatan mengenai punca kemalangan masih dijalankan, namun mangsa yang terselamat memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa pemandu hilang kawalan ke atas kenderaan itu di kawasan berbukit curam di Padang selepas brek gagal berfungsi.
Terdapat 12 mayat, termasuk dua kanak-kanak, kebanyakannya tersepit di bawah bas yang terbalik, kata Encik Sidiq. Kesemua mangsa, termasuk 23 orang yang cedera, dibawa ke dua buah hospital berhampiran, katanya.
Tiga belas daripada mereka yang cedera sedang dirawat akibat kecederaan serius, tambahnya. Pemandu bas turut berada dalam keadaan kritikal.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan bas tersebut remuk, terlantar di sisinya, dikelilingi pasukan penyelamat dari Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, anggota polis dan orang awam, manakala ambulans digunakan untuk memindahkan mangsa yang cedera dan terkorban.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Indonesia ekoran piawaian keselamatan dan prasarana yang lemah.
Tahun lalu, sebuah bas yang membawa 61 pelajar dan guru dalam perjalanan pulang dari lawatan sekolah menengah di Depok, berhampiran Jakarta, merempuh beberapa buah kereta dan motosikal selepas breknya gagal berfungsi, menyebabkan 11 pelajar maut dan puluhan lagi cedera.
Pada 2023, sebuah bas pelancong yang dipercayai dipandu oleh pemandu yang mengantuk merempuh papan iklan di sebuah lebuh raya di Jawa Timur, mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan 19 yang lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.