Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 11 maut, 122 cedera akibat gempa di China

Gempa bumi kuat berukuran 6.0 magnitud menggegarkan wilayah Sichuan di barat daya China pada Isnin (Jun 17). Sekurang-kurangnya enam maut manakala 15 yang lain cedera, menurut para pegawai dan media tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya 11 maut, 122 cedera akibat gempa di China

Kakitangan perubatan memberi respons kepada mangsa di hospital berikutan gempa bumi di daerah Changning di bandar Yibin, wilayah barat daya Sichuan, pada 18 Jun 2019. (Gambar: Xinhua menerusi AP/Wan Min)

Diterbitkan : 18 Jun 2019 08:18AM Dikemas Kini : 18 Jun 2019 10:29AM

BEIJING: Gempa bumi kuat berukuran 6.0 magnitud menggegarkan wilayah Sichuan di barat daya China pada Isnin (Jun 17). Sekurang-kurangnya enam maut manakala 15 yang lain cedera, menurut para pegawai dan media tempatan.

Para penyelamat bergegas ke kawasan-kawasan terjejas dalam keadaan hujan lebat berdekatan pusat gempa di luar bandar Yibin, lapor agensi berita Xinhua.
Bencana itu berlaku pada sekitar 10.55 malam (1455 GMT) pada kedalaman 16 kilometer, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.

Related article image
Siri gempa bumi melanda wilayah Sichuan di barat daya China. (Gambar: USGS)

Sekurang-kurangnya empat gempa susulan, yang paling kuat berukuran 5.1 magnitud, berlaku dalam 40 minit berikutan gempa tersebut.

Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menganggarkan magnitud gempa utama berukuran 5.8 sambil menambah "kerosakan yang teruk mungkin berlaku dan bencana itu mungkin meluas".

Korban jiwa dan kecederaan dilaporkan di daerah Changning dan Gongxian, kata pegawai tempatan seperti yang dipetik Xinhua.

Menurut agensi itu, sebuah hotel berhampiran pusat gempa runtuh tetapi tidak jelas jika terdapat sebarang kecederaan akibat kejadian tersebut. Keretakan pula dilihat di beberapa lebuh raya.

Lebih 300 anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian. Menurut Xinhua lagi, kakitangan penyelamat juga dikerahkan bersama 5,000 khemah, 10,000 katil lipat dan bekalan darurat yang lain.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan lampu candelier dan lekapan lampu lain bergoyang akibat gegaran gempa.

Bagaimanapun, AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan rakaman tersebut.

Gempa bumi kerap melanda Sichuan. Pada 2008, gempa kuat berukuran 7.9 magnitud membawa kepada kematian atau kehilangan 87,000 orang.

Pada Februari lalu, tiga gempa bumi melanda daerah Rongxian di wilayah itu, meragut dua jiwa dan mencederakan 12 yang lain - dengan kegiatan pelombongan dipersalahkan atas bencana tersebut.

Pihak berkuasa tempatan kemudian menghentikan pelombongan gas shal setelah ribuan penduduk membantah. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita