Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sektor pelancongan Sri Lanka terjejas selepas serangan bom

Industri pelancongan Sri Lanka bernilai AS$4.4 bilion (S$5.9 bilion) terjejas teruk akibat pembatalan oleh para pelancong yang mengelakkan daripada melawat pulau di Lautan Hindi itu selepas beberapa serangan letupan nekad membunuh lebih 250 mangsa di negara tersebut dua minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Sektor pelancongan Sri Lanka terjejas selepas serangan bom

Pantai di kawasan pelancong dekat Bentota, Sri Lanka, kelihatan lengang. (Gambar: Dinuka Liyanawatte/REUTERS)

Diterbitkan : 05 May 2019 06:31PM Dikemas Kini : 05 May 2019 06:33PM

COLOMBO: Industri pelancongan Sri Lanka bernilai AS$4.4 bilion (S$5.9 bilion) terjejas teruk akibat pembatalan oleh para pelancong yang mengelakkan daripada melawat pulau di Lautan Hindi itu selepas beberapa serangan letupan nekad membunuh lebih 250 mangsa di negara tersebut dua minggu lalu.

Para pengebom nekad, disyaki menganggotai kumpulan-kumpulan militan Islam yang kurang diketahui di Sri Lanka, menyerang gereja-gereja dan hotel-hotel mewah di negara tersebut pada sambutan Hari Easter. Mereka yang terkorban termasuk penganut Kristian yang menghadiri upacara Easter di gereja, pelancong dan keluarga mereka. Kumpulan militan ISIS mengakui bertanggungjawab atas seranganp-serangan tersebut.

Sektor pelancongan yang membentuk lima peratus daripada hasil kasar dalam negeri (GDP) mengalami kerugian sedang para pelancong dari merata dunia membatalkan tempahan hotel dan penerbangan kerana khuatir lebih banyak serangan mungkin berlaku.

Nilai bersih tempahan hotel menjunam 186 peratus secara purata dalam beberapa minggu berikutan siri serangan letupan tersebut berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Demikian data yang dikongsi oleh syarikat runding cara pelancongan ForwardKeys. Kemerosotan lebih 100 peratus menandakan terdapat lebih banyak pembatalan daripada tempahan.

Menurut Pengerusi Biro Pelancongan Sri Lanka Kishu Gomes, kadar purata pembatalan di hotel-hotel serata negara itu adalah 70 peratus sehingga Sabtu lalu (4 Mei) dengan ibu kota Colombo paling terjejas teruk.

"Beberapa syarikat penerbangan juga sudah mengurangkan kekerapan jadual penerbangan. Jumlah penumpang jauh lebih rendah daripada sebelum ini. Pastinya, ia satu faktor yang amat membimbangkan," kata Encik Gomes.

Sektor pelancongan di Sri Lanka yang mempunyai garis pantai sepanjang 1,600 kilometer, berkembang maju selepas tamat perang saudara selama berdekad-dekad dengan puak pemisah Tamil pada 2009. Ia adalah sumber mata wang asing Sri Lanka yang ketiga terbesar dan paling pesat tumbuh tahun lalu.

Encik Gomes berkata dasar dan langkah keselamatan yang tegas adalah penting untuk memulihkan semula industri pelancongan serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara itu.

Namun, buat masa sekarang, perniagaan daripada hotel-hotel mewah hinggalah gubuk-gubuk pantai mengalami kerugian yang kian meningkat.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan