Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sektor pelancongan perubatan M'sia kian kembali ke paras sebelum pandemik

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Sejak sempadan Malaysia dibuka semula sepenuhnya dua bulan lalu, jangkaan sektor pelancongan perubatan negara itu kini nampak lebih cerah.

Hospital-hospital privet menyatakan, kedatangan pesakit antarabangsa semakin rancak dan perniagaan semakin menuju kembali ke paras sebelum pandemik.

Sebaik sahaja sempadan Malaysia dibuka pada 1 April, warga Indonesia, Encik Mostafa Kamal segera membuat janji temu untuk ibunya, di sebuah hospital spesialis di Johor Bahru.

Walaupun perjalanan feri dua jam dari Batam kini lebih mahal ekoran inflasi, Encik Mostafa menekankan, ia cukup berbaloi.

"Kami sudah berubat di Batam berapa kali, namun, kami mahu hasil yang signifikan," kata Encik Mostafa.

Beliau menambah bahawa selama ini, memang ada perubahan namun ia tidak begitu berkesan.

"Jadi kami bawa ke Johor supaya lebih tahu lagi penyakitnya, tahu ubat-ubatannya. Kami harap ibu kami cepat sembuh. Saya bawa keluarga ke sini dengan kualiti yang ditawarkan boleh dipercaya," kata Encik Mostafa.

Sejak sempadan Malaysia dibuka semula, Hospital Spesialis KPJ mula sibuk dengan kehadiran pesakit luar negara. Keadaan tersebut tidak serupa sewaktu pandemik apabila sektor pelancongan perubatan terjejas teruk.

Kini, sudah mula kelihatan tanda-tanda pemulihan. Ia satu petanda baik untuk Malaysia mencapai matlamat menjadi antara destinasi pilihan bagi sektor pelancongan perubatan di Asia.

Contohnya, Hospital Spesialis KPJ menyatakan ia secara purata menerima 10 pesakit dalam sehari.

Kebanyakannya merupakan pesakit berulang yang datang untuk rawatan susulan, setelah terpaksa menangguhkan temu janji sejak dua tahun lalu ekoran COVID-19.

Sebelum pandemik pada 2019, Hospital Spesialis KPJ menerima lebih 18,000 pesakit dari 86 negara – kebanyakannya dari Indonesia dan Singapura.

Pusat Perubatan Prince Court di Kuala Lumpur pula menyaksikan pelancong perubatan yang dikendalikannya naik lebih 50 peratus sebulan, pada lima bulan pertama tahun ini.

"Dengan sebahagian sahaja kos, mereka boleh mendapat tahap jagaan yang sama dengan yang ditawarkan negara lain. Pakar-pakar kami, penyedia jagaan kesihatan kami, hospital-hospital kami boleh menawarkan rawatan peringkat dunia," kata Dr Kuljit Sigh, Pengarah Perubatan di Pusat Perubatan Prince Court.

"Bukan rawatan sahaja, ada tarikan sampingan. Hospital kami juga ada destinasi resort percutian sangat baik di Malaysia - resort percutian, resort pantai, resort pergunungan. Saya rasa itu antara daya tarikan utama kembali ke Malaysia," tambah Dr Kuljit.

Kini, industri pelancongan perubatan Malaysia dijangka berkembang mencecah AS$450 juta (S$628 juta) setahun pada 2025, satu pertambahan 18 peratus berbanding AS$390 juta (S$544 juta) yang dikutip pada 2019.

Yang jelas Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia yakin dapat mencapainya.

"Dari segi unjuran ke arah masa hadapan, kami lihat Malaysia dalam landasan yang betul untuk mencapai paras prapandemik, yang boleh menunjukkan bahawa keyakinan para pelancong kesihatan untuk datang ke Malaysia masih lagi kuat, masih lagi tinggi. Oleh itu, kami cuba menyampaikan perkhidmatan yang terbaik dan efektif untuk pelancong kesihatan antarabangsa," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, Mohd Daud Mohd Arif.

Memandang ke depan, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia juga mahu meluaskan lagi jangkauannya ke pasaran lain seperti Timur Tengah.
Sumber : CNA//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan