Skip to main content

Dunia

Sektor keselamatan tunjang utama kestabilan dan kemajuan Malaysia: Menteri

Peruntukan RM51 bilion (S$15.44 bilion) kepada sektor keselamatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membuktikan komitmen kerajaan Malaysia untuk menjadikan keselamatan sebagai tunjang utama kestabilan dan kemajuan negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Sektor keselamatan tunjang utama kestabilan dan kemajuan Malaysia: Menteri

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim (tengah) menunjukkan buku Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) selepas membentangnya di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2025. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 31 Jul 2025 06:12PM
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM51 bilion (S$15.44 bilion) kepada sektor keselamatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membuktikan komitmen kerajaan Malaysia untuk menjadikan keselamatan sebagai tunjang utama kestabilan dan kemajuan negara.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dana besar itu akan memacu pelbagai inisiatif penting termasuk pemodenan operasi keselamatan dan penambahbaikan kebajikan anggota di barisan hadapan.

“Dengan peruntukan RM51 bilion (S$15.44 bilion) kepada sektor keselamatan, ini satu isyarat jelas bahawa kerajaan mengiktiraf keselamatan sebagai tiang seri kepada kestabilan dan kemajuan negara,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Khamis (31 Jul).

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas penekanan serius kerajaan terhadap kebajikan warga keselamatan antaranya penyediaan kuarters untuk mereka, melibatkan lebih 82,000 unit pelbagai fasa pembinaan dan baik pulih.

“Penyediaan 1,368 unit kuarters baharu Polis Diraja Malaysia dan 3,088 unit kuarters Angkatan Tentera Malaysia telah siap, ditambah 8,501 unit lagi sedang dibina serta 69,141 unit kuarters sedia ada yang sedang dibaik pulih menjadi langkah bermakna dalam menjaga kesejahteraan mereka dan ahli keluarga masing-masing,” kata beliau.

Encik Saifuddin berkata usaha berterusan dalam RMK13 untuk meningkatkan prasarana, kemudahan dan sokongan kepada warga keselamatan amat dialu-alukan serta wajar diberi pujian kerana ia membuka ruang kepada prestasi cemerlang anggota.

“Kita tidak boleh mengharapkan pasukan keselamatan kita untuk berkhidmat dengan cekap dan berdedikasi sekiranya keperluan asas mereka seperti tempat tinggal yang selesa, persekitaran yang kondusif serta jaminan sosial diabaikan,” katanya.

Kata beliau lagi, pihaknya turut menyambut baik usaha kerajaan memodenkan sistem imigresen negara melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dan penggunaan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) yang disifatkan tepat pada masanya dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.

“Pendekatan ini membolehkan pasukan keselamatan negara berfungsi dengan berkesan, responsif dan strategik dalam menangani cabaran semasa serta meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan di sempadan darat dan maritim khususnya dalam menghadapi ketegangan geopolitik dan isu-isu keselamatan serantau seperti di Laut China Selatan,” kata Encik Saifuddin.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita