Skip to main content

Dunia

Sekolah di M'sia digesa henti aktiviti luar bilik darjah buat sementara waktu dek cuaca panas

Anggaran Waktu Membaca:


ALOR SETAR: Pihak sekolah perlu menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah termasuk kokurikulum serta penganjuran sukan tahunan buat sementara waktu berikutan cuaca panas pada masa ini demi keselamatan warga sekolah termasuk pelajar dan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia Lim Hui Ying berkata meskipun tiada sekolah di negara tersebut ditutup ekoran cuaca panas setakat ini, namun pihak sekolah mesti mengambil langkah berhati-hati dalam keadaan cuaca sedemikian untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Saya menyeru anak-anak sekolah dan warga sekolah berhati-hati tentang cuaca yang panas (sekarang ini) dan (banyak) minum air, (dan) kita tidak akan adakan aktiviti di luar bilik darjah (termasuk kokurikulum)," katanya semasa sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat pada Rabu (3 Mei).

Sebelum ini, Cik Hui Ying juga melawat tiga lagi sekolah dalam lawatan kerjanya pada Rabu iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peng Min; SJKC Keat Hwa S dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Barathy.

Cik Hui Ying berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di seluruh negara akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa berhubung keadaan cuaca panas itu dalam usaha langkah berjaga-jaga selain usaha melaksanakan pendekatan berkesan bagi menangani isu itu.

"Garis panduan kita (yang telah ditetapkan) bagi suhu meningkat sehingga 37 darjah Celsius, JPN pantau dan akan tutup sekolah. (Pihak sekolah) mohon dengan JPN, JPN akan buat keputusan (berhubung penutupan sekolah)," katanya.

Selain itu, beliau berkata JPN akan turut memantau di sekolah untuk melihat sejauh mana kebenaran khas untuk warga sekolah memakai pakaian atau baju sukan sopan ketika cuaca panas diguna pakai untuk mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah KPM diberi kebenaran khas untuk memakai pakaian atau baju sukan yang sopan semasa cuaca panas bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.

KPM dalam laporan itu juga memaklumkan pemakaian tali leher tidak diwajibkan bagi murid yang memakai pakaian seragam sekolah.

GELOMBANG HABA M'SIA

Di Malaysia, sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia akibat strok haba.

Pada Jumaat (28 Apr) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan, dengan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian, lapor Berita Harian Malaysia.

Kanak-kanak yang meninggal dunia akibat strok haba itu dilaporkan berada di Kelantan.

Beberapa kawasan di Malaysia juga dilaporkan berada pada Tahap Amaran 1 sekitar hujung minggu lalu. Ini bermakna orang ramai dinasihatkan supaya berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sehubungan itu, orang ramai juga digesa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas.

Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita