Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sekolah di M'sia dibenar tutup jika suhu jangkaui 37°C tiga hari berturut-turut

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Pentadbir dibenarkan menutup sekolah jika cuaca panas berada pada tahap amaran dua dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, lapor Harian Metro. 

Itu antara garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi surat siaran pekeliling yang dikeluarkan pada Sabtu (29 Apr) dan ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisah Suhaili menyusuli situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi seluruh Malaysia ketika ini.

Menerusi surat siaran itu, institusi-institusi pendidikan di bawah KPM termasuk sekolah dibenarkan ditutup jika kawasan mereka diisytiharkan dilanda gelombang haba oleh Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

Surat siaran yang berkuat kuasa serta-merta dari tarikh siaran iaitu 29 April, turut menyatakan garis panduan itu terpakai untuk semua institusi pendidikan di bawah KPM.

"Selain itu, semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

"Antara contoh aktiviti luar yang tidak sesuai dilaksanakan pada tahap suhu amaran pertama adalah merentas desa, perkhemahan, kawad, sukan dan permainan di luar bangunan serta pertanian," petik Harian Metro. 

Menurut surat pekeliling itu, penutupan institusi pendidikan akibat status suhu harian bagi cuaca panas harus dimaklumkan pentadbir kepada pendaftar dengan serta-merta secara lisan dan bertulis menggunakan apa-apa medium yang sesuai.

Pentadbir harus mengemukakan surat pemakluman rasmi kepada pendaftar berhubung penutupan institusi pendidikan serta- merta atas sebab status suhu harian cuaca panas pada tahap amaran dua.

Surat pemakluman itu harus dilampirkan bersama dokumen sokongan yang menjelaskan tentang proses penilaian risiko yang dijalankan sebelum keputusan menutup institusi pendidikan dibuat pentadbir.

Pentadbir juga dikehendaki memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga berkaitan penutupan atau pembukaan institusi pendidikan atas sebab status suhu harian dengan segera secara bertulis atau medium komunikasi yang sesuai.

Selain itu, menurut KPM, ibu bapa juga dibenarkan membawa anak ke hospital atau balik ke rumah jika anak mereka didapati tidak sihat ketika berada di sekolah.

Katanya lagi, pentadbir juga perlu memastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik termasuk sentiasa memantau tahap kesihatan murid bagi mengelakkan sebarang risiko berkaitan strok haba berlaku serta penyakit lain.

"Garis panduan ini diharap dapat memastikan pengurusan penutupan institusi pendidikan dapat dilaksanakan secara teratur.

"Malah, dalam mempertimbangkan penutupan institusi pendidikan juga, aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid mestilah menjadi keutamaan komuniti institusi pendidikan," menurut KPM seperti dinukil Harian Metro. 

Menurut surat pekeliling yang sama, pentadbir juga perlu menetapkan tarikh hari ganti persekolahan dan memaklumkan tarikh terbabit kepada pendaftar.

Sebelum ini, KPM dalam kenyataan berasingan memaklumkan institusi di bawah KPM diarah menghentikan aktiviti luar bilik darjah membabitkan murid sekiranya kawasan masing-masing mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawah KPM turut diarah supaya melaksanakan langkah pencegahan, selain memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan