Sekitar 9,000 jemaah Haji M'sia sudah tiba di Tanah Suci

(Gambar: Sinar Harian)
MAKKAH: Seramai 9,078 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci, meliputi 2,966 orang di Makkah dan 6,112 di Madinah.
Mereka adalah jemaah yang berlepas pada 21 Mei lalu dan melibatkan 30 daripada 98 penerbangan. Pesawat terakhir dijangka tiba di Tanah Suci pada 21 Jun ini, lapor Sinar Harian.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setakat ini operasi haji berjalan dengan lancar dan kesihatan para jemaah berada dalam keadaan baik.
“Cumanya lapan jemaah telah dimasukkan ke hospital iaitu enam individu di Hospital Tabung Haji (TH) di Madinah dan Mekah, manakala dua lagi ditempatkan di hospital Arab Saudi di Mekah.
“Mereka yang berusia 60 tahun ke atas itu dirujuk ke hospital kerana mengalami jangkitan paru-paru dan seorang jemaah wanita cedera di kaki kerana terjatuh,” katanya pada sidang media mingguan di Abraz Al Janadriyah di Makkah pada Isnin (29 Mei).
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, Malaysia sekali lagi menjadi negara pertama mendapat kebenaran daripada kerajaan Arab Saudi pada 25 Mei lalu untuk membuka operasi pusat kesihatan di Madinah.
“Alhamdulillah ini adalah satu pengiktirafan kepada perkhidmatan kesihatan kita dan juga menunjukkan persediaan dan fasiliti yang ada telah mencapai satu tahap tinggi membolehkan kepada kebenaran beroperasi ini.
“Dari segi nisbah kemudahan yang disediakan seperti katil dan doktor dengan jumlah jemaah haji, tidak dapat dinafikan bahawa kita yang terbaik dan tertinggi berbanding dengan pihak lain,” Sinar Harian memetik kata-katanya.
Jelasnya lagi, pada tahun ini juga kriteria untuk mendapatkan kelulusan adalah lebih ketat, namun TH berjaya memenuhi setiap keperluan yang ditetapkan Arab Saudi.
Tambahnya, antara perkara yang dinilai ialah dari segi fasiliti, ambulans, peralatan, ruang beroperasi, jumlah pakar perubatan dan pengurusan sisa klinikal.
Amalan dan prosedur operasi standard (SOP) sektor kesihatan Malaysia membantu kelulusan berkenaan, selain hubungan baik Malaysia-Arab Saudi khususnya rombongan haji negara dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, menurut Syed Saleh lagi.
“Untuk kelulusan pusat kesihatan di Makkah pula, ia sedang diusahakan seperti mana yang dilakukan di Madinah yang mana kita sudah bertungkus-lumus sejak tiga bulan lalu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.