Skip to main content

Dunia

Sekitar 80,000 belia Malaysia terjebak jenayah dadah antara Jan-Jun 2025, hampir 70% jumlah seluruh 2024

Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia mendedahkan seramai 78,674 belia terbabit dalam jenayah penyalahgunaan dadah antara Januari hingga Jun 2025.
Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 80,000 belia Malaysia terjebak jenayah dadah antara Jan-Jun 2025, hampir 70% jumlah seluruh 2024
Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail. (Gambar: Bernama)
Diterbitkan : 04 Dec 2025 07:42AM Dikemas Kini : 04 Dec 2025 07:51AM
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia mendedahkan seramai 78,674 belia terbabit dalam jenayah penyalahgunaan dadah antara Januari hingga Jun 2025.

Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata 66,078 atau 84 peratus belia terbabit dikenal pasti menyalahgunakan dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS).

Beliau juga mendedahkan corak penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia turut merekodkan peningkatan ketara antara 2022 hingga 2024.

Angka itu, katanya, melonjak kepada 116,245 belia pada 2024, berbanding 90,520 orang (2023) dan 85,657 belia (2022), lapor BH Online.

"Angka ini dikenal pasti melalui kajian menyeluruh bagi mengenal pasti punca utama mendorong belia salah guna dadah yang dilaksanakan Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan.

"Kajian bertajuk 'Kajian Tingkah Laku Keterlibatan Belia dalam Penyalahgunaan Dadah/Bahan (Substance) di Kawasan Berisiko Tinggi Terpilih' ini memberi tumpuan kepada belia berusia 15 hingga 30 tahun, dari September 2024 hingga Februari lalu," kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai punca mendorong golongan belia terjebak dalam aktiviti pengedaran atau penyeludupan dadah dalam jawapan bertulis di laman web parlimen.

Sementara itu, Encik Saifuddin berkata, kajian sama turut merumuskan keinginan untuk mencuba, menghilangkan tekanan dan pengaruh rakan adalah antara punca utama pembabitan belia dalam penyalahgunaan dadah.

Menurut laporan BH Online, Encik Saifuddin menyatakan bahawa hasil kajian mendapati 30.1 peratus daripada 249 responden mengambil dadah atau bahan berpunca akibat perasaan ingin mencuba.

"Sebanyak 20.9 peratus responden pula memberikan alasan tekanan, manakala pengaruh rakan (18.9 peratus), merasa keseronokan (9.6 peratus) dan untuk melaksanakan kerja (9.2 peratus).

"Sebanyak 4.5 peratus responden menyatakan sebab lain seperti untuk tidur, jual dan mendapatkan tenaga, manakala ketenangan (3.6 peratus), terpengaruh (dua peratus) serta dianiaya kawan (1.2 peratus).

"Selain itu, dinyatakan mereka memperoleh dadah atau bahan ialah secara beli sendiri (53.4 peratus), diikuti kawan (43 peratus), ahli keluarga (dua peratus) dan lain-lain (1.6 peratus)," katanya lagi.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita