Skip to main content

Dunia

Sekitar 300 pendatang tanpa izin diperiksa dalam serbuan di KL

Warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal diperiksa dalam serbuan di Brickfields, KL, dengan kesalahan seperti tinggal lebih masa serta tidak memiliki dokumen atau pas yang sah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 300 pendatang tanpa izin diperiksa dalam serbuan di KL

(Gambar: Jabatan Imigresen melalui BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Aug 2022 06:41PM
KUALA LUMPUR: Sebuah penempatan pendatang tanpa izin di dalam kontena tiga tingkat di Brickfields diserbu Jabatan Imigresen pada Sabtu lalu (6 Ogos).

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata seramai 294 warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal diperiksa dalam serbuan yang dilancarkan pada 11.30 malam itu, dengan 59 daripadanya ditahan.

“Antara kesalahan dilakukan adalah tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah serta peserta Program Rekalibrasi yang ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini (10 Ogos).

Encik Khairul Dzaimee berkata dalam serbuan ke atas satu parti persendirian di Bukit Bintang pada 9.30 malam hari yang sama pula, pihaknya menahan 25 warga asing kerana tidak memiliki dokumen yang sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas, hasil pemeriksaan terhadap 171 warga asing.

Beliau berkata parti itu dianjurkan oleh warga tempatan dengan petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu terdiri dalam kalangan warga asing.

“Siasatan mendapati setiap tetamu dikenakan yuran masuk sebanyak RM150 (S$50) secara dalam talian dan lokasi parti hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir kepada tetamu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Parti ini menghidangkan minuman keras dan persembahan yang mencolok mata serta mereka yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing yang memegang pas pelajar asing,” katanya.

Menurut beliau lagi, beberapa individu warga tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

Encik Khairul Dzaimee menambah kesemua 84 pendatang tanpa izin berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun, yang ditahan dalam dua serbuan itu, dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita