Sekitar 200 warga asing diberkas, disyaki terlibat operasi penipuan online di Batam
Pihak berkuasa Indonesia menangkap kira-kira 200 warga asing - kebanyakannya rakyat China - selepas menjalankan serbuan ke atas sebuah kompleks apartmen di Batam yang dipercayai digunakan bagi operasi penipuan online rentas sempadan.
Para pegawai Pejabat Imigresen Batam menjalankan serbuan ke atas sebuah sindiket penipuan antarabangsa yang disyaki beroperasi di Apartmen Baloi View di Batam. (Gambar: Pejabat Imigresen Batam)
This audio is generated by an AI tool.
Para pegawai imigresen menjalankan serbuan sebelum subuh itu di Apartmen Baloi View, yang turut berfungsi sebagai sebuah hotel, pada Rabu (6 Mei).
Sebahagian besar yang diberkas merupakan warga China, manakala selebihnya berasal dari Filipina dan Vietnam, kata Ketua Pejabat Imigresen Kepulauan Riau, Guntur Sahat Hamonangan.
“Angka awal adalah sekitar 200 orang (ditangkap) tetapi jumlah sebenar sedang disahkan,” kata beliau pada Rabu, seperti yang dipetik agensi berita tempatan Kompas.
Mereka yang ditangkap disyaki menjalankan kegiatan-kegiatan haram seperti penipuan cinta, perjudian online dan pancingan data e-dagang, yang menggunakan pautan palsu untuk mendapatkan data para pengguna, lapor Jakarta Post.
Para pegawai turut merampas ratusan peranti elektronik, termasuk telefon bimbit, komputer riba, peralatan rangkaian dan server mudah alih.
Akses ke premis berkenaan turut ditutup sementara pihak berkuasa menyiasat kes tersebut, lapor Jakarta Post.
Pihak berkuasa turut menyiasat kemungkinan penglibatan satu sindiket yang didakwa dikendalikan oleh tokoh-tokoh perniagaan tempatan.
Menurut Jakarta Post, kegiatan di Apartmen Baloi View dikatakan dikawal oleh dua orang individu yang dikenali sebagai AL dan WL, masing-masing dari Tanjung Pinang dan Batam.
Kedua-duanya dikatakan mempunyai rekod melibatkan kegiatan mereka di Kemboja, di mana sindiket penipuan semakin berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Laporan Jakarta Post turut memetik seorang ahli perniagaan tempatan yang dikenali sebagai AX, yang dipercayai mempunyai rangkaian perniagaan yang luas di Batam, sebagai berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
Pihak berkuasa belum mengesahkan dakwaan hubungan tersebut dan menyatakan siasatan masih dijalankan bagi menentukan peranan setiap pihak, selain mengenal pasti dalang di sebalik rangkaian berkenaan.
“Kami akan memberikan maklumat lengkap sebaik sahaja semuanya disahkan dengan sewajarnya,” kata Ketua Pejabat Imigresen Batam, Wahyu Eka Putra, pada Rabu sambil menambah bahawa kes itu melibatkan penyelarasan dengan pelbagai agensi.
“Kami berterima kasih atas kerjasama erat polis Batam.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.