Sekatan internet di Rakhine masuk minggu ke-5
Satu sekatan Internet secara meluas di wilayah bergolak Rakhine di Myanmar kini berlarutan hingga minggu kelima pada Isnin (22 Julai) sedang para penduduk menyeru pemerintah supaya menghentikan perlindungan maklumat yang mungkin menyembunyikan kes-kes pencabulan hak asasi manusia.
Di Myanmar, Facebook adalah antara wadah komunikasi utama (Gambar: AFP)
YANGON: Satu sekatan Internet secara meluas di wilayah bergolak Rakhine di Myanmar kini berlarutan hingga minggu kelima pada Isnin (22 Julai) sedang para penduduk menyeru pemerintah supaya menghentikan perlindungan maklumat yang dikhuatiri oleh kumpulan-kumpulan hak asasi mungkin menyembunyikan kes-kes pencabulan hak asasi manusia.
Syarikat telko menggantung khidmat data internet pada 21 Jun di lapan bandar di seluruh utara Rakhine dan satu di wilayah jiran Chin - di mana askar sedang menentang pemberontak etnik Rakhine yang dikenali sebagai Tentera Arakan (AA) yang mahukan lebih banyak kebebasan.
Pihak berkuasa menyatakan Internet sedang digunakan untuk menyelaraskan operasi pihak pemberontak, sementara kumpulan hak asasi mendakwa penggantungan khidmat itu membolehkan para askar bertindak dengan sewenang-wenangnya.
Sekatan itu juga menjejas kehidupan seharian dan menyebabkan ketakutan di kalangan penduduk yang menghadapi cabaran untuk menerima sebarang khabar berita sama ada tentang perkembangan terkini banjir mahupun berita mengenai pertempuran yang sedang berlarutan.
"Ia seperti suatu perlindungan maklumat," Saw Oo dari bandar Mrauk-UU memberitahu AFP, sambil menambah bahawa orang ramai tidak dapat berkongsi maklumat tentang cuaca semasa musim hujan.
Beberapa bulan kebelakangan ini, pihak tentera menyerbu kampung-kampung dalam usaha membasmi anggota AA dan para penyokongnya.
Pihak tentera turut mengesahkan ia menembak mati enam tahanan Rakhine pada akhir April, sambil mengatakan bahawa pasukannya bertindak untuk mempertahankan diri.
Wilayah Rakhine Utara juga merupakan lokasi tindakan tentera tegas pada 2017 yang menyebabkan lebih daripada 740,000 orang Muslim Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
Penyiasat PBB sudah meminta agar jeneral Myanmar yang bertanggungjawab ke atas kempen tersebut untuk didakwa atas kesalahan pembunuhan beramai-ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.