Sekatan darurat COVID-19 di Indonesia dilanjutkan hingga 2 Ogos: Presiden Jokowi
Presiden Indonesia Joko Widodo pada Ahad (25 Jul) mengumumkan bahawa sekatan yang sedang dikuatkuasakan untuk membendung penularan COVID-19 akan dilanjutkan hingga 2 Ogos.
Seorang pedagang jalanan di Indonesia. (Gambar: REUTERS)
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo pada Ahad (25 Jul) mengumumkan bahawa sekatan yang sedang dikuatkuasakan untuk membendung penularan COVID-19 akan dilanjutkan hingga 2 Ogos.
Namun, beberapa penyesuaian berhubung kegiatan dan pergerakan masyarakat akan dilaksanakan.
Di bawah Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Tahap 4, pergerakan penduduk disekat mengikut sektor di mana mereka bekerja. Hanya pekerja dalam sektor-sektor kritikal seperti tenaga kuasa dan kesihatan dibenarkan kembali ke tempat kerja.
Walau bagaimanapun, dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen, Presiden Widodo berkata bahawa akan terdapat penyesuaian, dengan mengambil kira aspek kesihatan dan ekonomi serta dinamik sosial.
"Pasar tradisional yang menjual keperluan asas boleh dibuka seperti biasa di bawah protokol kesihatan ketat.
"Pasar tradisional yang menjual barangan selain keperluan asas boleh dibuka dengan kapasiti maksimum 50 peratus hingga 3.00 petang dan penyesuaian lanjut akan dibuat oleh pemerintah tempatan," kata Presiden Jokowi.
Beliau menambah bahawa pedagang jalanan, kedai runcit, ejen atau cawangan baucar telefon bimbit, kedai gunting rambut, kedai cuci pakaian, pusat penjaja, kedai automotif kecil-kecilan, tempat cuci kereta dan perniagaan-perniagaan kecil-kecilan seumpamanya dibenarkan dibuka hingga 9.00 malam. Penyesuaian lanjut juga akan dilakukan oleh pemerintah tempatan.
Presiden Jokowi juga berkata gerai makanan, pedagang jalanan, penjaja dan cawangan-cawangan serupa yang beroperasi di luar atau dalam ruang terbuka boleh dibuka hingga 8.00 malam dengan kunjungan pelanggan dibataskan kepada 20 minit.
Beliau berkata pemerintah juga menambah bantuan sosial kepada masyarakat dan perniagaan-perniagaan kecil dengan perinciannya akan diumumkan oleh menteri-menteri berkaitan.
PPKM Darurat, yang kemudian dinamakan PPKM Tahap 4, dikuatkuasakan dari 3 Julai hingga 25 Julai di Jawa dan Bali sedang Indonesia bergelut dengan peningkatan mendadak kes COVID-19.
Sekatan-sekatan itu kemudian dilanjutkan ke 15 lagi daerah di luar Jawa dan Bali.
Indonesia telah mencatat lebih 3 juta jangkitan dan 83,000 kematian sejauh ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.