Skip to main content

Dunia

Sekatan baru Taliban cetus kemarahan kaum wanita

Larangan Taliban terhadap kaum wanita yang keluar bekerja mencetuskan kemarahan atas kehilangan secara dramatik hak berjuta-juta guru dan pelajar perempuan yang dilarang daripada pendidikan sekolah menengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Sekatan baru Taliban cetus kemarahan kaum wanita

Sekumpulan wanita adakan tunjuk perasaan di Afghanistan pada 20 Sep 2021 (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 20 Sep 2021 07:46PM Dikemas Kini : 20 Sep 2021 07:51PM

KABUL: Larangan Taliban terhadap kaum wanita yang keluar bekerja mencetuskan kemarahan atas kehilangan secara dramatik hak berjuta-juta guru dan pelajar perempuan yang dilarang daripada pendidikan sekolah menengah.

Setelah mengikrarkan pendekatan yang lebih lembut berbanding rejim kejam dan menindas pada tahun 1990-an, Taliban dilihat semakin mengetatkan lagi kawalan mereka terhadap kebebasan kaum wanita sebulan selepas mengambil alih kuasa.

"Lebih baik saya mati saja," luah seorang wanita yang dipecat dari jawatan kanannya di kementerian ehwal luar.

"Saya bertanggungjawab ke atas seluruh jabatan dan terdapat ramai wanita yang bekerja bersama saya ... sekarang kami semua kehilangan pekerjaan," kata beliau kepada AFP, namun berkeras tidak mahu identitinya didedahkan kerana takut akan menanggung padahnya.

Menurut pemangku datuk bandar Kabul, semua pekerjaan perbandaran yang disandang oleh kaum wanita sekarang ini akan digantikan dengan lelaki.

Ia berlaku setelah kementerian pendidikan mengarahkan para guru dan pelajar lelaki kembali ke sekolah menengah masing-masing pada hujung minggu lalu tetapi tidak pula menyebut tentang berjuta-juta pendidik wanita dan pelajar perempuan di negara itu.

Taliban pada Jumaat juga dilaporkan menutup kementerian ehwal wanita di bawah pemerintah lalu dan menggantinya dengan kementerian yang sebelum ini digeruni kerana menguatkuasakan hukum-hukum agama.

Walaupun para pemimpin baru negara itu belum secara rasmi mengeluarkan dasar yang melarang wanita daripada bekerja, arahan yang dikeluarkan oleh para pegawai adalah setara dengan tindakan menyingkirkan mereka dari tempat kerja.

Ramai wanita Afghanistan bimbang mereka tidak akan mendapat pekerjaan yang bermakna.

Pemerintah Taliban yang baru diumumkan dua minggu lalu tidak ada anggota wanita dalam kabinet.

Walaupun masih dipinggirkan, kaum wanita Afghanistan sepanjang 20 tahun kebelakangan ini telah memperjuangkan dan memperoleh hak asasi mereka. Ada yang menjadi anggota parlimen, hakim, juruterbang dan pegawai polis, walaupun kebanyakannya terbatas di bandar-bandar besar negara itu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita