Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Sekali-kali tidak lagi", seru 200 tokoh dunia terhadap ketidaksamaan pembahagian vaksin

Anggaran Waktu Membaca:
"Sekali-kali tidak lagi", seru 200 tokoh dunia terhadap ketidaksamaan pembahagian vaksin

(Gambar: Scott Olson/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 11 Mar 2023 10:28AM Dikemas Kini : 11 Mar 2023 12:20PM
GENEVA: Tanggal 11 Mac, genap tiga tahun sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik sejagat.

Sempena ulang tahun itu, hampir 200 tokoh terkenal dunia menyeru agar tidak berlaku lagi ketidaksamaan dalam pembahagian vaksin pada masa depan.

"Kami meminta pemimpin dunia agar berikrar 'tidak akan lagi' berlaku," kata tokoh-tokoh terkenaan dalam satu surat terbuka kepada pemimpin dunia.

Menurut mereka menjelang berakhirnya pandemik COVID-19, dunia kini berada di persimpangan yang kritikal.

Keputusan-keputusan yang dibuat sekarang kata mereka akan menentukan tahap kesediaan dunia untuk bertindak terhadap krisis-krisis kesihatan pada masa depan.

"Keputusan yang dibuat sekarang akan menentukan bagaimana dunia bersedia dan bertindak balas terhadap krisis kesihatan global masa depan. Pemimpin dunia mesti memikirkan kesilapan yang dibuat dalam bertindak balas terhadap pandemik Covid-19 supaya ia tidak akan berulang."

Surat terbuka itu diselaraskan oleh Perikatan Vaksin Rakyat, sebuah kumpulan bukan pemerintah (NGO).

Tokoh dari lebih 40 negara menandatangani surat tersebut termasuk Presiden Timor-Leste Jose Manuel Ramos-Horta, yang memenangi Hadiah Keamanan Nobel 1996 dan mantan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon.

Surat itu mengkritik ketidaksamaan yang ketara dalam tindak balas terhadap pandemik itu, yang secara rasmi membunuh hampir tujuh juta orang di seluruh dunia, walaupun jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

Meskipun beberapa vaksin yang sangat berkesan terhadap COVID-19 dibangunkan dengan pantas, negara-negara kaya dengan cepat mengambil sebahagian besar dos awal, menyebabkan golongan mereka yang mudah terdedah di banyak negara miskin menunggu untuk mendapatkan suntikan.

Masih hingga ke hari ini, kurang daripada satu pertiga penduduk di negara berpendapatan rendah telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, berbanding 75 peratus penduduk di negara berpendapatan tinggi, menurut data PBB.

"Penghasilan vaksin, rawatan dan ujian COVID-19 disokong dana awam," kata surat itu.

"Pemerintah telah mencurahkan wang pembayar cukai sebanyak berbilion-bilion dolar ke dalam usaha penyelidikan, pembangunan dan pesanan awal, bagi mengurangkan risiko kepada syarikat farmaseutikal," tambahnya.

"Vaksin COVID-19 adalah vaksin bagi rakyat, ujian rakyat dan rawatan rakyat," tegasnya.

Namun, syarikat farmaseutikal memilih untuk meraih keuntungan dengan menjual dos terlebih dahulu kepada negara terkaya berbanding "melancarkan vaksin, ujian dan rawatan berdasarkan keperluan", katanya.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, Dewan Perwakilan, sebulat suara, meluluskan rang undang-undang untuk mendedahkan maklumat mengenai asal-usul penyakit COVID-19 kepada umum.

Dewan Senat telah memberikan sokongannya pada 1 hari bulan ini.

Keputusan muktamadnya kini terletak di tangan Presiden Joe Biden.

Kes pertama COVID-19 pada manusia dilaporkan di bandar Wuhan, China pada tahun 2019.

Pada Mac 2023, Jabatan Tenaga Amerika dilaporkan telah membuat kesimpulan bahawa pandemik itu bermula dari sebuah makmal di China.

Sejak sekian lama, China menyangkal dakwaan sedemikian.
Sumber : AFP/MU/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan