Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sejauh mana ketiadaan 'Bossku' jejas sokongan terhadap BN?

Anggaran Waktu Membaca:
PEKAN: Sudah lebih dua bulan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Dengan Pilihan Raya Umum ke-15 bakal menjelang, adakah ketiadaan tokoh UMNO itu akan menjejas sokongan kepada parti berkenaan?

Meskipun sinaran Najib atau kini lebih popular dengan gelaran 'Bossku' umumnya nampak semakin pudar, di Pekan, Pahang, pula sokongan kepada Najib masih lagi padu.

Najib menjadi Ahli Parlimen di bandar negeri kelahirannya itu selama lebih 40 tahun.

'PEKAN MASIH SAYANG NAJIB'

Seorang pemilik restoran Mazlan Esa berkata: "Pekan masih sayang dia. Pekan masih perlu dia. Hampir dua penggal dia memerintah, jadi banyak jasa dia."

"Najib banyak membantu kaum ibu tunggal, banyak dia membantu juga rakyat di Pekan banyak dapat faedah dia. Semua orang ada kelemahan. Betul tak?

"Jadi kita tidak tahu nak kata dia salah pun kita tidak tahu, nak kata dia betul pun kita tidak tahu," ujar seorang lagi pemilik restoran ditemui Sheila Frijan Ali.
Najib, 69 tahun, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram.

Dia dilarang bertanding dalam sebarang pilihan raya atau memegang sebarang jawatan politik selama lima tahun walaupun selepas dibebaskan.

Sebelum ini, anaknya Encik Nizar Najib, dikhabar bakal mempertahankan kerusi parlimen Pekan.

Encik Nizar, 44 tahun, adalah Ketua Pemuda UMNO bagi Pekan.

"Dia muda dan ada pemikiran baru jadi dia boleh tarik golongan muda 18 tahun untuk mengundi. Pekan akan sokong dia sudah pasti ramai akan menyokongnya kerana dia daripada generasi Razak, Najib dan kemudian dia," tambah Encik Mazlan.

Hanizam Lau, Orang Asli di Pekan, juga berkongsi sentimen yang sama: "Dia okay seperti ayahnya. Mesra dengan rakyat macam ayahnya."

PERBEZAAN SOKONGAN BAGI NIZAR

Namun demikian, bukan satu jaminan bahawa Encik Nizar akan mendapat jalan mudah ke Parlimen.

Mentelah lagi, Encik Nizar kini sah bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya bagi PRU15 nanti.
"Orang Pekan hormat anak Tun Razak bukan anak Najib. Dia tidak sama. Tun Razak banyak berjasa untuk negara kita. Dia Bapa Pembangunan.

"Kalau dia ambil pun, dia kena kerja keras. Dia tidak boleh duduk kedai kopi bersembang-sembang. Dia kena pergai kampung," kata Sakri Hamzah, seorang penduduk Pekan.

Hakikatnya, masih kurang jelas bagaimana ketiadaan Bossku akan menjejas atau mempengaruhi undi di Pahang.

"Isu Najib adalah isu kita bersama. Sepatutnya menyatukan kita dan bukan memecahkan kita," tegas Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Yang jelas, kemelut yang menimpa Najib belum lagi selesai buat masa ini, dengan perbicaraan bagi tuduhan rasuahnya masih lagi berjalan.
Sumber : CNA/RU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan