Segera dapatkan vaksin, kata PM Ismail Sabri dalam ucapan hari kebangsaan M'sia
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob menggesa rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksin dengan segera bagi membantu negara itu pulih daripada COVID-19.

(Gambar: Pejabat Perdana Menteri)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob menggesa rakyat Malaysia untuk mendapatkan vaksin dengan segera bagi membantu negara itu pulih daripada COVID-19.
"Kami mesti terus melawan pandemik COVID-19 yang merupakan musuh utama kami," tegas beliau dalam ucapan yang disiarkan di televisyen sehari sebelum sambutan hari kebangsaan Malaysia yang ke-64 (30 Ogos).
"Kejayaan ini akan melakarkan laluan bagi pemulihan ekonomi negara dan membolehkan kami untuk hidup dalam norma baru. Ekonomi harus pulih, kesejahteraan orang ramai harus bertambah baik, keyakinan pelabur harus kembali.
"Oleh itu, saya mahu menggesa keluarga Malaysia untuk mendapatkan vaksin dengan segera bagi membantu usaha negara pulih semula."
PM Ismail Sabri menarik perhatian vaksin terbukti memberi kesan positif dalam memerangi pandemik.
"Berdasarkan data dan fakta, yakinlah bahawa hanya menerusi kerjasama penuh kesemua pihak, perang melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan," tambah beliau.
Dalam ucapannya itu, perdana menteri juga menyusuri perjalanan Malaysia mencapai kemerdekaan sepanjang empat abad lalu dan mengajak orang ramai untuk memanfaatkan pelajaran-pelajaran yang ditimba untuk mengatasi cabaran-caran masa kini sebagai satu "keluarga Malaysia".
Malaysia sedang berada di tengah-tengah peperangan mencabar menentang COVID-19, dengan purata lebih 20,000 kes harian sepanjang minggu lalu.
Semalam, negara itu mencatat 19,268 kes dan 295 kematian.
Terdapat lebih 1.7 juta kes COVID-19 di Malaysia sejauh ini dan sekitar 16,400 kematian secara keseluruhannya.
Setakat semalam, 62.6 peratus penduduk dewasanya sudahpun lengkap divaksin. Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan perangkaan tersebut kepada 100 peratus menjelang hujung Oktober.
PM Ismail Sabri juga menzahirkan harapan bahawa dengan kerjasama semua rakyat Malaysia, ini akan menjadi tahun terakhir negara itu menyambut hari kebangsaan di tengah-tengah pandemik COVID-19.
"Ayuh kita bebaskan negara kita daripada pandemik, kemelut ekonomi dan keadaan politik tidak stabil," kata beliau.
PM Ismail Sabri sedang dalam kuarantin selepas disahkan sebagai kontak rapat seorang pesakit COVID-19. Oleh itu, beliau tidak hadir upacara angkat sumpah Kabinet pada Isnin petang di Istana Negara.
Beliau juga menyertai sambutan hari kebangsaan di Putrajaya hari ini (31 Ogos) secara maya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.