Sebulan selepas bencana gempa-tsunami, Palu hadapi krisis kesihatan
Bandar Palu di Indonesia yang dilanda gempa bumi dan tsunami bulan lalu menghadapi krisis kesihatan awam sedang hujan lebat membawa risiko penularan malaria dan denggi, agensi-agensi bantuan memberi amaran.
(Gambar: AFP)
JAKARTA: Bandar Palu di Indonesia yang dilanda gempa bumi dan tsunami bulan lalu menghadapi krisis kesihatan awam sedang hujan lebat membawa risiko penularan malaria dan denggi, agensi-agensi bantuan memberi amaran.
Pada 28 September lalu, gempa bumi sekuat 7.5 pada skala Richter menggegarkan kawasan di pulau Sulawesi itu, diikuti pula oleh tsunami. Sekitar 2,200 orang terkorban dan lebih 220,000 kehilangan tempat tinggal.
Ribuan lagi dilaporkan masih hilang dan dipercayai mati apabila seluruh kawasan kediaman musnah akibat pencecairan tanah.
Dalam usaha terdesak untuk mengekang penularan penyakit, pihak berkuasa pada minggu lalu mengerahkan helikopter-helikopter untuk melepaskan bahan disinfektan di kawasan-kawasan Palu yang paling teruk terjejas, di mana sekitar 5,000 mayat yang reput dipercayai tertimbus.
Menurut agensi bencana Indonesia, langkah itu penting untuk mengelakkan penularan penyakit yang dibawa lalat, lipas dan tikus.
Meskipun demikian badan-badan bantuan melaporkan penambahan kes cirit-birit dan jangkitan sistem pernafasan. Terdapat juga kes yang disyaki jangkitan nyamuk seperti malaria dan demam denggi.
Musim monsun yang membawa hujan lebat untuk beberapa bulan mendatang mungkin memburukkan lagi keadaan.
"Kemungkinan besar kita akan lihat semakin ramai orang sakit... kerana susah untuk menjaga tahap kebersihan, dengan hujan lebat menggalak pembiakan nyamuk dan ratusan atau ribuan mayat dipercayai reput di bawah tanah," kata Selina Sumbung, pengerusi Yayasan Sayangi Tunas Cilik.
Hujan lebat di beberapa kawasan terpencil juga mengakibatkan jalan raya jadi lumpur dan meningkatkan risiko tanah runtuh, menghalang akses pasukan bantuan.
Pada Jumaat pihak berkuasa Indonesia menarik semula keadaan darurat pada Jumaat. Satu "tempoh peralihan" diisytiharkan sehingga 25 Disember.
Menurut gabenor Sulawesi Tengah Longki Djanggola pada Khamis, 70 peratus kawasan Palu sudah dibersihkan dan bekalan air akan kembali seperti biasa menjelang Disember.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.