Sebilangan bandar Ukraine sunyi sepi selepas gencatan senjata Kremlin berkuat kuasa
Gencatan senjata selama tiga hari yang diisytiharkan oleh Rusia berkuat kuasa pada pagi Khamis (8 Mei) dengan bandar-bandar utama Ukraine sunyi sepi berbanding serangan bertubi-tubi oleh dron dan peluru berpandu balistik Rusia.
Penduduk tempatan menunggu trem di hadapan sebuah bangunan kediaman yang musnah akibat serangan Rusia, di Kyiv, Ukraine pada 7 Mei 2025. (Gambar fail: AP/Evgeniy Maloletka)
Tentera udara Ukraine melaporkan bahawa selepas gencatan senjata yang ditaja Kremlin berkuat kuasa, pesawat Rusia tiga kali melancarkan serangan ke atas wilayah Sumy di utara Ukraine. Tiada maklumat mengenai kerosakan, dan Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas serangan itu.
Gencatan senjata Rusia, sempena ulang tahun ke-80 kekalahan Nazi dalam Perang Dunia II, berkuat kuasa pada tengah malam waktu Mosko (5.00 pagi, waktu Singapura).
Sebagai sebahagian daripada acara ulang tahun itu, Presiden Rusia Vladimir Putin menjadi tuan rumah kepada Presiden China Xi Jinping dan pemimpin lain di Mosko dan akan merasmikan perarakan tentera di Dataran Merah Mosko pada 9 Mei.
Ukraine belum lagi memberikan komitmen untuk mematuhi gencatan senjata Kremlin, menyifatkannya sebagai tipu muslihat oleh Encik Putin untuk memaparkan seolah-olah beliau mahu menamatkan perang, yang tercetus apabila Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari 2022. Encik Putin menegaskan bahawa beliau komited untuk mencapai keamanan.
Ukraine melancarkan serangan dron ke atas Mosko minggu ini, yang memaksa penutupan lapangan terbang di ibu negara Rusia dan membatalkan penerbangan pesawat.
Selain laporan tentera udara Ukraine mengenai tiga pelancaran bom berpandu, tiada laporan di Ukraine mengenai mana-mana dron atau peluru berpandu jarak jauh Rusia yang dilancarkan ke atas bandar-bandar di Ukraine pada awal Khamis.
Setakat pukul 3.45 pagi (8.45 pagi, waktu Singapura), ibu kota Kyiv lengang, berbeza dengan 24 jam sebelum itu apabila bandar tersebut bergema dengan bunyi letupan daripada serangan udara Rusia dan tembakan anti-pesawat Ukraine.
Tidak jelas sama ada terdapat gencatan senjata dalam pertempuran di barisan hadapan antara tentera Rusia dan Ukraine. Seorang saksi memberitahu Reuters berhampiran bahagian timur Ukraine bahawa dia tidak mendengar bunyi sebarang pertempuran pada awal Khamis (8 Mei).
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata pada Rabu (7 Mei) bahawa negaranya tetap dengan tawarannya untuk mematuhi gencatan senjata selama 30 hari dalam perang dengan Rusia.
"Kami tidak akan menarik balik cadangan ini, yang boleh memberi peluang diplomasi," kata Encik Zelenskyy dalam ucapan video setiap malam.
Rusia, katanya, tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap tawaran gencatan senjata selama 30 hari itu kecuali melancarkan serangan-serangan baharu.
“Ini jelas menunjukkan kepada semua orang siapa punca perang itu,” tambah Presiden Ukraine itu.
Encik Zelenskyy juga mengakui bahawa banyak serangan dron telah menyasarkan tapak-tapak di Rusia, termasuk bandar Mosko, sedang peringatan Perang Dunia II semakin hampir.
Datuk Bandar Mosko Sergei Sobyanin, dalam satu siri catatan di Telegram dalam tempoh sepanjang lima jam, berkata 14 dron yang menuju ke ibu negara telah dipintas atau dimusnahkan. Ini berlaku sebelum gencatan senjata tiga hari yang ditaja Kremlin berkuat kuasa.
Amerika Syarikat mencadangkan gencatan senjata selama 30 hari pada Mac dan Ukraine menyetujuinya. Rusia berkata langkah sedemikian hanya boleh diperkenalkan selepas mekanisme untuk menguatkuasakan dan menegakkannya dilaksanakan.
Kedua-dua negara semakin tertekan dengan gesaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk menamatkan perang dengan pantas, iaitu konflik terbesar di Eropah sejak Perang Dunia II.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Utusan Amerika Keith Kellogg bahawa Encik Putin mungkin menghalang gencatan senjata menyeluruh.
“Satu-satunya halangan kepada gencatan senjata ialah Kyiv, yang melanggar perjanjian dan tidak mahu membincangkan secara serius syarat gencatan senjata jangka panjang,” kata Cik Zakharova.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.