Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sebatan terhadap wanita dalam kes lesbian berbentuk mendidik, bukan menyeksa

“Janganlah anggap dua pesalah wanita ini hina, orang yang buruk dan jelik kerana apabila mereka bersedia menerima hukuman ia adalah tanda telah insaf dan sedar atas kesilapan.”

Anggaran Waktu Membaca:
Sebatan terhadap wanita dalam kes lesbian berbentuk mendidik, bukan menyeksa

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 03 Sep 2018 09:12PM Dikemas Kini : 03 Sep 2018 09:14PM

KUALA TERENGGANU: “Janganlah anggap dua pesalah wanita ini hina, orang yang buruk dan jelik kerana apabila mereka bersedia menerima hukuman ia adalah tanda telah insaf dan sedar atas kesilapan.”

Itu peringatan Hakim Syarie Kamarulazmi Ismail susuli pelaksanaan hukuman enam kali sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Terenganu hari ini (3 Sep) ke atas dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis ketika ditahan dalam sebuah kereta pada April lalu.

Tegasnya, hukuman itu juga adalah berbentuk pengajaran, peringatan serta pencegahan kepada pesalah itu sendiri dan masyarakat supaya tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

“Sebatan dalam syariah bukan untuk mencederakan, menyeksa, dan mengazabkan pesalah. Mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada seluruh umat Islam dan memberi gambaran bagaimana hukuman syariah itu adalah satu hukuman yang berbentuk mendidik dan bukan untuk menyeksa,” katanya.

Hakim Kamalruazmi berkata demikian di awal prosiding dengan disaksikan Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd dan Hakim Kanan Syarie Terengganu Rosdi Harun serta lebih 100 orang yang berada di galeri awam.

SANGKAL DAKWAAN SEBATAN LEBIH KUAT TERHADAP SALAH SATU TERTUDUH

Dua wanita berkenaan yang masing-masing berusia 32 dan 22 tahun, dihukum sebat enam kali kerana cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Dataran Arena Square, Dungun, pada 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Dalam pada itu, semasa sidang media, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat yang sempat menyaksikan pelaksanaan hukuman itu turut memberi peringatan yang sama dan berharap tiada spekulasi negatif berkenaan kes tersebut.

Katanya segala prosedur sudah dipatuhi dan pihak Penjara Kajang serta Pengkalan Chepa, Kelantan bertanggungjawab melaksanakan hukuman tersebut.

Mengenai tahap ‘kekuatan sebatan’ yang dilihat berbeza ke atas setiap tertuduh, Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri berkata ia hanyalah pada pandangan mata kasar dan berikutan bunyi berbeza kerana pegawai penjara masih mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Hakikat sebenar kita tidak tahu. Berbunyi kuat tidak semestinya lebih kuat. Yang ditekankan ialah mengikut tatacara (peraturan). Tidak semestinya apa yang kita nampak itu betul,” katanya.

Antara peraturan yang ditetapkan ialah orang yang melaksanakan sebat hendaklah menggunakan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukai kulit pesalah dan bagi pesalah wanita hendaklah dilaksanakan dalam keadaan pesalah duduk. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan