Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Sebahagian dari intipati Bajet 2023 menjadi manifesto BN, kata Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:
BERA: Sebahagian intipati Bajet 2023 yang dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas, akan menjadi manifesto Barisan Nasional (BN), mengambil kira belanjawan itu berpijak di bumi nyata, kata Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri Malaysia itu berkata intipati bajet terbesar yang pernah disediakan dengan peruntukan RM372.3 (S$112) bilion itu juga mencakupi semua pihak dan kerajaan mempunyai peruntukan mencukupi untuk melaksanakannya.

Beliau berkata intipati bajet yang baik dan menyeluruh itu menyebabkan ada pihak mahu meniru belanjawan tersebut.

"Kita telah mengumumkan (bajet) lebih awal.. Muhyiddin komen macam-macam tentang kerajaan tapi apabila kita bentang bajet yang baik maka dia juga ingin menciplak (meniru) bajet yang dibentangkan kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan saya," kata beliau.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kenduri Kampung Bersama Komuniti Felda Sebertak di Dewan Orang Ramai Felda Sebertak di Bera hari ini (7 Nov), yang turut dihadiri calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai Khairulnizam Mohamad Zuldin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang dilaporkan memberi jaminan semua inisiatif Bajet 2023 termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksana serta ditambah baik, ketika mengumumkan manifesto PN semalam (6 Nov).
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan