Scotland negara pertama di dunia sediakan produk kebersihan wanita secara percuma
(Gambar: Go With The Flow)
LONDON: Scotland menjadi negara pertama di dunia untuk menyediakan produk kebersihan wanita secara percuma, lapor agensi berita Anadolu.
Akta Produk Haid yang dimuktamadkan oleh Parlimen Scotland pada Ahad (14 Ogos) akan memastikan pihak berkuasa bertanggungjawab dari segi undang-undang untuk memberikan produk haid secara percuma kepada mereka yang memerlukannya.
Asal usul undang-undang itu diperkenalkan pada 2018 apabila jurucakap kesihatan Parti Buruh Scotland, Monica Lennon, melancarkan kempen nasional untuk menawarkan produk kebersihan secara percuma.
"Ini akan membawa perubahan besar kepada kehidupan wanita dan gadis yang mengalami haid. Kemajuan yang hebat dapat disaksikan di peringkat masyarakat dan melalui pihak berkuasa setempat, semua wanita dan gadis akan diberikan akses untuk melaluinya secara bermaruah," kata Cik Lennon dalam kenyataannya.
Kempen nasional itu dilancarkan selepas beberapa majlis setempat di negara tersebut menyediakan produk sedemikian secara percuma kepada penduduk wanita masing-masing.
Langkah Cik Lennon itu menerima sokongan dan pada 2020, Parlimen Scotland meluluskan usul untuk menggubalnya sebagai undang-undang, dengan para Anggota Parlimen Scotland sebulat suara menyokongnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.