Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Scoot batal penerbangan ke Taipei sedang latihan ketenteraan China diteruskan

Scoot menyatakan syarikat itu membatalkan penerbangan TR996 dan TR997 pada Jumaat selain penerbangan TR898 dan TR899 pada Sabtu.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang murah Scoot pada Jumaat (5 Ogos) berkata ia telah membatalkan semua penerbangannya ke Taiwan pada 5 dan 6 Ogos berikutan sekatan ruang udara yang berterusan akibat latihan ketenteraan China di kawasan berhampiran pulau yang ditadbir sendiri itu.

Pembatalan penerbangan Scoot itu dilakukan selepas syarikat penerbangan negara Singapore Airlines, membatalkan dua penerbangannya yang dijadualkan pada Jumaat — SQ878 dan SQ879. SQ878 terbang dari Singapura ke Taipei manakala SQ879 terbang dari Taipei ke Singapura.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Scoot berkata ia membatalkan penerbangan TR996 dan TR997 pada Jumaat serta penerbangan TR898 dan TR899 pada Sabtu.

TR996 sepatutnya berlepas dari Singapura pada 9.55 pagi Jumaat, manakala penerbangan balik TR997 sepatutnya tiba di Singapura pada 9.50 malam.

TR898 sepatutnya berlepas dari sini ke Lapangan Terbang Narita Tokyo pada pukul 1 pagi Sabtu dengan membuat persinggahan di Taipei. Penerbangan pulang TR899 pula sepatutnya tiba di Singapura pada pukul 8.10 malam esok, menurut semakan di laman web Lapangan Terbang Changi.

Scoot juga berkata ia telah menyemak semula pelan penerbangan bagi TR899 pada Khamis dengan penerbangan itu tidak mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan Taipei dan langsung ke Singapura selepas berlepas dari Lapangan Terbang Narita.

Syarikat penerbangan itu akan membantu pelanggannya yang terjejas akibat pembatalan penerbangan.

"Untuk tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi, pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi ejen pelancongan mereka atau syarikat penerbangan untuk mendapatkan bantuan," kata Scoot.

“Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan pelanggan dan kakitangan kami. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyesuaikan rancangan, jika perlu.”

Sehari sebelumnya, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) memberitahu media bahawa China telah menghantar notis kepada juruterbang pada Selasa, menyatakan bahawa ia melarang pesawat terbang ke "kawasan dikenal pasti terjejas oleh latihan tembakan menggunakan peluru betul", yang ditetapkan berlangsung dari Khamis hingga Ahad.

CAAS menambah bahawa syarikat penerbangan Singapura sejak itu telah mengambil perhatian mengenai notis itu sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard mereka dan "menjauhi kawasan yang terjejas".
Sumber : Today/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan