Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Scholz bakal ganti Merkel pimpin Jerman, tandakan tamatnya satu era

Pemilihan Olaf Scholz sebagai Canselor Rabu ini (8 Dis) menandakan bermulanya pemerintahan berhaluan tengah-kiri, mengambil alih pimpinan konservatif di bawah Angela Merkel.

Anggaran Waktu Membaca:
Scholz bakal ganti Merkel pimpin Jerman, tandakan tamatnya satu era

Gambar fail Encik Olaf Scholz (Gambar: AFP/Michael Kappeler, Pool)

Diterbitkan : 06 Dec 2021 11:03PM Dikemas Kini : 06 Dec 2021 11:07PM

BERLIN: Parlimen Jerman akan secara rasmi melantik Olaf Scholz sebagai canselor negara itu pada Rabu (8 Dis), sekali gus melabuhkan tirai pemerintahan Angela Merkel selama 16 tahun dan memulakan era politik baru diterajui golongan haluan tengah-kiri.

Encik Scholz memimpin Parti Demokrat Sosial (SPD) mengalahkan blok parti Cik Merkel CDU-CSU dalam pilihan raya bersejarah pada September, ketika canselor veteran itu bersiap sedia untuk berundur dari arena politik selepas memegang jawatan selama empat penggal berturut-turut.

Bersama-sama dengan Parti Hijau dan Demokrat Bebas liberal (FDP), parti SPD pimpinan Encik Scholz berjaya membentuk perikatan yang bercita-cita menjadikan Jerman sebuah negara yang lebih mesra alam dan saksama.

"Saya mahu 20-an menjadi era permulaan baru," kata Encik Scholz kepada akhbar mingguan Die Zeit, mengisytiharkan cita-cita untuk memacu "pemodenan perindustrian terbesar yang akan mampu menghentikan perubahan iklim yang berpunca daripada manusia".

Beliau juga mendedahkan Kabinet pertama negara itu yang seimbang dari segi jantina, dengan wanita memegang portfolio keselamatan utama.

"Ia sepadan dengan masyarakat kita - separuh kuasa adalah milik wanita," ujar Encik Scholz, yang menyifatkan dirinya sebagai seorang "feminis".

Kembalinya kelompok haluan tengah-kiri dalam tampuk kepimpinan ekonomi terbesar Eropah itu boleh mengalihkan keseimbangan di benua yang masih bergolak ekoran Brexit. Ini lebih-lebih lagi sedang satu lagi pemain utama, Perancis, bakal mengundi dalam pilihan raya presiden pada 2022.

Namun belum pun Encik Scholz mengambil alih jawatan, perikatan "lampu isyarat" dinamakan sempena warna tiga parti - menghadapi ujian hebat dalam bentuk gelombang keempat pandemik COVID-19 yang dahsyat.

Seorang yang berpengalaman dalam pemerintah, Encik Scholz sebelum ini menyandang jawatan menteri buruh dalam kabinet gabungan pertama Cik Merkel dari 2007 hingga 2009, sebelum mengambil alih sebagai naib canselor merangkap menteri kewangan pada 2015.

Cik Merkel dituduh oleh pengkritiknya sebagai mengutamakan ekonomi Jerman yang bergantung kepada eksport, dalam urusan antarabangsa.

Pun begitu, beliau kekal popular di negara sendiri sehinggakan mungkin berjaya memenangi penggal kelima sekiranya beliau cuba.

Tokoh politik veteran itu juga dihormati di luar negara kerana berjaya memimpin Jerman mengharungi pelbagai krisis.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan