Sayap UMNO sepakat stabilkan parti, elak lagakan pemimpin
Kepimpinan sayap UMNO pada Khamis (17 Mac) sepakat memastikan kestabilan parti menjadi keutamaan di samping mengelak percubaan melaga-lagakan pemimpin parti.
Ketua Wanita UMNO, Dr Noraini Ahmad (dua dari kiri) , bersama Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi (kanan) di perhimpunan sayap itu pada 17 Mac 2022. (Gambar: Dato Dr Noraini Ahmad/Facebook)
KUALA LUMPUR: Kepimpinan sayap UMNO pada Khamis (17 Mac) sepakat memastikan kestabilan parti menjadi keutamaan di samping mengelak percubaan melaga-lagakan pemimpin parti.
Ketika menggulungkan perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hari ini, ketua-ketua sayap berkenaan menyampaikan pesanan itu kepada perwakilan masing-masing sambil menegaskan keputusan oleh lima pemimpin tertinggi parti berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti perlu dihormati.
Ketua Wanita UMNO, Dr Noraini Ahmad, berkata ahli parti perlu merapatkan jurang perbezaan dan mencari titik persamaan antara mereka.
“Saya ingin ingatkan kepada semua, jangan sekali-kali ada yang berani cuba mengganggu, gugat kestabilan politik dalam ‘rumah besar’ UMNO kita,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noraini turut menyentuh Wanita UMNO akan memperjuangkan penyertaan wanita dalam penggubalan dasar sehingga mencapai sasaran minimum 30 peratus.
Dr Noraini menambah Wanita UMNO akan memohon supaya lebih ramai wanita dicalonkan untuk bertanding dalam PRU15.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata mandat perlu diberikan semula kepada rakyat dalam mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil bagi memacu negara.
“Pemuda juga perlu menjadi benteng bukan sahaja ketika menghadapi pilihan raya tetapi melindungi parti daripada percubaan melaga-lagakan pemimpin dalam parti,” katanya.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Zahida Zarik Khan pula mengingatkan perwakilan sayap parti itu supaya ikhlas dalam perjuangan bagi memastikan parti bersedia mengharungi PRU15.
Beliau berkata perwakilan juga tidak seharusnya menjadikan arena politik sekadar untuk memenuhi kepentingan peribadi semata-mata.
"Kita Puteri UMNO ada kelas tersendiri, dalam perjuangan, jangan cakap yang kita berjuang untuk diri kita. Kita berjuang untuk parti dan negara.
“Kita hari ini duduk di sini sebagai ahli parti, yang bercakap dengan akar umbi kita ikhlas berjuang, tapi jangan cakap tak serupa bikin. Kalau buat untuk kepentingan jawatan, kita bukan seperti itu," katanya.
Beliau berkata Puteri UMNO juga harus memperkukuh kebersamaan dalam kalangan ahlinya supaya parti terus kuat sekali gus mengelak wujudnya sentimen kebencian dalam parti.
Beliau menambah kebersamaan yang utuh mampu menangkis sebarang permainan politik luar parti yang boleh melemahkan UMNO.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.