Sayap pemuda Barisan Nasional kemuka senarai nama calon pilihan raya negeri Sabah
Pemuda Barisan Nasional (BN) sudah menyerahkan senarai nama kepada Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin untuk dipertimbang sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.
(Gambar: Bernama)
TANJUNG MALIM: Pemuda Barisan Nasional (BN) sudah menyerahkan senarai nama kepada Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin untuk dipertimbang sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan.
Pengerusinya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata senarai nama itu sudah melalui proses saringan sebelum diserahkan kepada Encik Bung Moktar, yang mengetuai jentera BN bagi menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
"Sudah tentu Pemuda BN mengharapkan 85 peratus calon terdiri daripada muka baharu dalam kalangan anak-anak muda yang tidak ada sebarang kecelaruan dalam politik seterusnya boleh memberikan suatu harapan baharu kepada rakyat di Sabah," katanya kepada pemberita pada Selasa (25 Ogos).
Beliau berkata selepas menjadi pembangkang, BN mahu bangkit dengan wajah baharu serta sebagai sebuah parti yang lebih baik untuk berkhidmat kepada rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sabah diadakan pada 26 Sep dengan penamaan calon pada 12 Sep dan pengundian awal pada 22 Sep.
Terdahulu, Encik Asyraf Wajdi beramah mesra dengan penduduk setempat dalam Program Ziarah Kasih di sekitar Pekan Lama Sungkai dekat sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.