Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Saya tidak mahu M'sia jadi contoh hanya dengan bangunan paling tinggi, rakyatnya paling menderita": PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Pelaksanaan konsep Malaysia MADANI mesti menitikberatkan keseimbangan masyarakat dalam pembangunannya supaya pemacuan pertumbuhannya dirasai semua golongan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata mercu tanda pembangunan sesebuah masyarakat itu tidak harus terkenal dengan bangunan tinggi sahaja tetapi juga keseimbangan antara golongan atasan dan rakyat.

"Antara rumah mahligai dan rumah rakyat, antara restoran mewah dan gerai-gerai rakyat indah dan bersih, ada kehijauan ada taman-tamannya untuk rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara 2023 (HLN2023) yang berlangsung di Taman D.R. Seenivasagam, di Ipoh pada Sabtu (11 Mac).

Turut hadir Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Datuk Bandar Ipoh Rumaizi Baharin.

Perdana Menteri Malaysia itu juga berkata langkah tersebut harus bermula daripada peringkat pihak berkuasa tempatan setiap negeri.

Piahk berkuasa perlu memastikan hak rakyat dipelihara tanpa mengira kaum dan diberi pembelaan.

“Saya beri contoh di Kuala Lumpur, ada puluhan projek (pembangunan) seperti ini, ada Twin Towers, KL Towers, tapi gerainya bobrok seperti tahun-tahun 50an."

“Saya tidak mahu Malaysia jadi contoh hanya dengan bangunan paling tinggi, jambatan paling panjang, gedung paling besar, tapi antaranya… rakyatnya paling menderita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis PBT di seluruh negara supaya meneliti semula pelan pembangunan mereka agar misi pembangunan seimbang itu dapat dijayakan.

Sementara itu Encik Anwar berkata kerajaan juga akan memastikan konsep pembangunan dalam negara ditambah baik, dengan hak serta kepentingan raykat sentiasa terpelihara.

“Tidak akan ada siapapun yang (boleh) merasa bebas menggondol hak rakyat, dan merasa (mereka) boleh terlepas. Saya akan pastikan hal ini tidak berlaku. Berikan kesempatan kerajaan bersihkan negara daripada perompak besar dan tumpu pada kepentingan rakyat,” katanya.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan