"Saya tidak boleh bernafas": Keselamatan penyokong bola sepak Indonesia dipersoal susuli 2 korban jiwa

(Gambar: Timur Matahari/AFP)
JAKARTA: Perlawanan bola ini cukup dinanti-nantikan Raihan Fauzi, 25 tahun.
Kelab dari kampung halamannya, Bandung Persib, akan menentang kelab Persebaya dari Subaya pada 17 Jun. Persib menjadi tuan rumah bagi perlawanan itu yang berlangsung di Gelora Bandung Lautan Api (GBLA).
Sebagai peminat tegar Persib, Encik Fauzi menyaksikan perlawanan itu dengan saudaranya yang juga peminat tegar kelab tersebut, Asep Ahmad Solihin, 29 tahun.
Mereka tiba di stadium tersebut sekitar pukul 6.00 petang, awal lebih dua jam dari waktu perlawanan sebelum musim Piala Presiden itu dijadualkan bermula.
"Keadaan masih terkawal pada 6.00 petang. Namun sekitar 6.30 petang hingga 7.00 malam, para pegawai menutup pintu masuk kerana stadium sudah penuh," imbas Encik Fauzi semasa ditemu bualMediacorp.
Ramai yang tidak dapat memasuki stadium tersebut meskipun sudah membeli tiket menerusi saluran-saluran rasmi.
Justeru, tambah Encik Fauzi, ramai yang naik angin dan menjadi agresif lalu menolak satu sama lain untuk cuba memasuki stadium tersebut.
"Saya tidak boleh bernafas. Orang ramai menolak saya dan saya tidak boleh bergerak.
"Saya menyerahkan nyawa saya kepada Tuhan," ungkap Encik Fauzi lagi.
Malam itu berakhir dalam keadaan huru-hara. Dua orang maut, termasuk saudara Encik Fauzi, Ahmad, dan seorang lagi peminat tegar Persib.
Mereka merupakan antara 78 orang yang meninggal dunia dalam kemalangan berkaitan bola sepak di Indonesia sepanjang 28 tahun lalu, pegawai khas bagi Menteri Belia dan Sukan, Gatot Dewa Broto, memberitahu Mediacorp.
Tragedi di Bandung itu sekali lagi menarik perhatian isu keselamatan penyokong bola sepak di negara tersebut.
"ORANG PIJAK KITA"
Sebelum perlawanan itu bermula, Encik Fauzi berkata beliau dan saudaranya yang berusia 29 itu membeli tiket rasmi melalui aplikasi mudah alih Persib.
Beliau yakin bilangan orang di stadium itu jauh lebih ramai daripada jumlah penonton yang dibenarkan menyaksikan perlawanan tersebut kerana sebilangan penyokong berjaya memasuki stadium meskipun mereka tidak memiliki tiket yang sah.
Beliau mendakwa melihat sekumpulan sekitar 10 orang daripada agensi-agensi pemerintah yang memasuki stadium tanpa perlu menunjukkan tiket mereka.
"Malah, ada juga mereka yang menggunakan tiket daripada perlawanan-perlawanan yang lalu. Saya tidak tahu kenapa para pegawai tidak mengimbas semua tiket."
Apabila pintu gerbang stadium ditutup, mereka yang tidak dapat masuk memecah pagar masuk dan orang ramai mula menolak satu sama lain, imbas Encik Fauzi.
"Saya berdiri di depan Ahmad dan beliau memegang saya dari belakang supaya kami tidak terpisah," kata Encik Fauzi.
"Tiba-tiba orang di depan saya terjatuh. Jadi secara automatik, saya pun terjatuh kerana ditolak dari belakang dan tiada apa-apa untuk berpaut."
Encik Fauzi, saudaranya dan seorang lagi individu dihempap pagar yang jatuh.
"Tetapi tiada sesiapa yang membantu kami. Sebaliknya, mereka hanya memijak kami."
"Saya ingat seseorang memijak saya. Kemudian, saya pengsan dan tidak ingat apa yang berlaku seterusnya," cerita beliau.
Encik Fauzi tersedar di sebuah stesen Palang Merah berdekatan stadium itu sekitar jam 9.00 malam. Beliau kemudian mencari Ahmad tetapi tidak menjumpainya.
Beliau juga mendapatkan bantuan rakannya dan warga net Twitter untuk mencari Ahmad. Akhirnya sekitar jam 1.00 pagi, Encik Fauzi mendapat tahu bahawa Ahmad berada di sebuah hospital tempatan tetapi sudah meninggal dunia.
"Beliau kehabisan oksigen. Beliau sesak nafas kerana orang ramai berasak-asakan," kata Encik Fauzi tentang keadaan Ahmad.
TERLALU RAMAI ORANG, ISU TIKET MUNGKIN PUNCANYA
Sementara polis menyiasat insiden tersebut, jurucakapnya bagi wilayah Jawa Barat - di mana terletaknya Bandung - memberitahu Mediacorp bahawa terdapat isu tiket dan terlalu ramai orang pada malam itu.
"Terdapat terlalu ramai pelawat, bukan penonton," kata Encik Ibrahim Tompo, jurucakap berkenaan.
Di bawah protokol COVID-19 semasa, perlawanan itu hanya boleh menampung 15,000 penonton tetapi 40,000 orang tampil di stadium tersebut, jelasnya.
“Terdapat kekurangan maklumat yang diberikan kepada penyokong Persib mengenai kuota tiket masuk sebanyak 15,066. Justeru, penyokong Persib terus membanjiri stadium melebihi jumlah tiket yang disediakan,” menurut Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Ketua Jawatankuasa Disiplin PSSI Erwin Tobing berkata Persib sudahpun dikenakan sekatan dan didenda 50 juta rupiah (S$4,669).
Selain itu, kelab bola sepak tersebut juga tidak dibenarkan untuk menganjurkan perlawanan di GBLA buat masa ini.
"Bagi PSSI dan badan-badan lain, mungkin mereka harus mempertingkatkan pengurusan maisng-masing. Perlawanan bola sepak di Bandung harus dihentikan buat masa ini kerana tiada kemenangan (di padang) yang berbaloi digadaikan dengan nyawa manusia," pinta Encik Fauzi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.