Skip to main content

Dunia

"Saya tak sangka dia akan meninggal dunia:" Rintihan hiba Dr Mahathir detik perpisahan terakhir

"I didn't expect her to die... today. She was quite well last night" ("Saya tidak sangka dia akan meninggal dunia... hari ini. Keadaannya agak baik malam tadi").

Anggaran Waktu Membaca:
"Saya tak sangka dia akan meninggal dunia:" Rintihan hiba Dr Mahathir detik perpisahan terakhir

Video dikongsi Dr Mahathir memaparkan detik pilu perpisahan dengan Almarhumah Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. (Gambar: Majlis Kesultanan Pahang)

Diterbitkan : 29 Sep 2026 11:02PM
  • Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa terkejut dan duka selepas Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meninggal dunia pada 28 September 2026 di Institut Jantung Negara.
  • Video yang dikongsi merakam suasana pilu di kediaman mereka, termasuk Dr Mahathir di kerusi roda serta anak-anaknya Mokhzani dan Marina yang sebak.
  • Al-Sultan Abdullah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah, Tengku Mahkota Pahang serta pemimpin seperti Anwar Ibrahim, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri hadir memberi penghormatan.
  • Di Pusara Negara, Dr Mahathir dibantu Mukhriz menyiram air mawar dan menabur bunga, menandakan penghormatan terakhir kepada legasi Dr Siti Hasmah.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: "I didn't expect her to die... today. She was quite well last night" ("Saya tidak sangka dia akan meninggal dunia... hari ini. Keadaannya agak baik malam tadi").

Demikian luahan sayu mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad tatkala menerima keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merungkai rasa terkejut dan duka yang amat mendalam atas pemergian permaisuri hatinya, Almarhumah Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang meninggal dunia pada Isnin (28 Sep), lapor Astro AWANI.

Kenyataan yang meruntun jiwa itu dizahirkan menerusi satu bingkisan video terbaharu yang dikongsikan oleh Dr Mahathir, merekodkan saat-saat memilukan sepanjang proses pengurusan jenazah hingga ke Istiadat Pengebumian Pembesar Negara yang berlangsung semalam.

Menerusi perkongsian video berkenaan, seluruh rakyat dibawa menyelami sisi paling rapuh seorang negarawan yang baru sahaja kehilangan teman hidupnya selama lebih tujuh dekad. Di ruang tamu kediaman peribadi mereka, kelihatan Dr Mahathir sugul di atas kerusi roda ditenangkan oleh ahli keluarga.

Dalam suasana yang diiringi alunan ayat suci Al-Quran dan selawat, anaknya, Mokhzani dilihat tidak dapat menahan air mata lalu mencium tangan bapanya dalam keadaan sebak, sementara anak perempuannya Marina melutut sayu menemani jenazah ibu tercinta.

Kehilangan 'Ibu Bangsa' ini nyata meruntun hati institusi diraja. Video itu merakamkan momen bermakna apabila Al-Sultan Abdullah berserta Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah dan Tengku Mahkota Pahang meluangkan masa menyantuni dan memujuk Dr Mahathir di meja makan.

"Allah lebih menyayanginya... Tapi Tun kena jaga diri Tun," titah Al-Sultan Abdullah yang sarat dengan empati. 
Dalam pada itu, pemergian tokoh wanita ulung itu juga menyaksikan penyatuan seteru politik tanah air.

Kehadiran pemimpin tertinggi negara dari pelbagai latar belakang politik, termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dua mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri, membuktikan betapa besarnya rasa hormat terhadap Almarhumah yang melangkaui sempadan politik.

Menjelang akhir video, detik paling hiba dirakamkan di Pusara Negara.

Walaupun kudratnya terbatas di atas kerusi roda, Dr Mahathir dengan perlahan menyiram air mawar dan menaburkan kelopak bunga di atas pusara isteri tercinta, sambil dibantu oleh Mukhriz.

Walaupun jasad Almarhumah telah selamat dikebumikan, bingkisan video memilukan itu akan terus menjadi saksi kepada sebuah kisah cinta agung dan legasi luar biasa yang ditinggalkan oleh sosok bernama Hasmah di hati setiap rakyat Malaysia.

Untuk rekod, Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 28 September 2026.
Sumber : Agensi berita/Astro Awani/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita