Skip to main content

Dunia

Saya tahu siapa dalang sebar video lucah - Azmin Ali

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali berkata beliau tahu individu yang menjadi dalang dalam penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan dirinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Saya tahu siapa dalang sebar video lucah - Azmin Ali

Gambar fail Azmin Ali. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Jul 2019 08:16AM Dikemas Kini : 22 Jul 2019 08:20AM

SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali berkata beliau tahu individu yang menjadi dalang dalam penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan dirinya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan pihak polis.

"Saya tidak boleh dedahkan kerana ia masih dalam siasatan (polis), biarlah siasatan itu lengkap dahulu.

"Tetapi sejak hari pertama (video itu tersebar) saya sudah menjangkakan bahawa ada unsur-unsur dalaman (parti)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis doa selamat dan kesyukuran menolak politik fitnah terhadap beliau di kediaman Menteri Besar Selangor Amirudin Shari semalam (21 Jul).

Encik Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata beliau juga akan terus bekerjasama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan agenda parti.

Beliau berkata tiada alasan untuknya menidakkan hubungan kerjasama itu walaupun sebelum ini wujud pertelingkahan kenyataan antara beliau dan Encik Anwar berhubung isu video tersebut.

"Saya dan Anwar akan terus bekerjasama kerana beliau adalah presiden dan saya adalah timbalannya, janganlah provok kami berdua kerana kita sudah bersama dalam banyak dekad (dalam memperjuangkan parti)," katanya.

Sebelum ini, Encik Azmin dan Encik Anwar dilihat saling berbalas kenyataan berhubung isu video lucah itu apabila Encik Anwar menyatakan timbalannya perlu bercuti jika terbukti video berkenaan tulen.

Kenyataan Encik Anwar itu diselar Encik Mohamed Azmin yang meminta Ahli Parlimen Port Dickson itu bermuhasabah dan cermin diri.

Dalam pada itu, Encik Mohamed Azmin menyeru barisan kepimpinan parti itu supaya tidak bersengketa dan menolak politik kotor.

"Rakyat bagi madat kepada Pakatan Harapan bukan untuk bergaduh… kita kena tolak politik kotor kerana rakyat sudah muak dengan perkara seperti ini dan saya gesa media bersama kita untuk sebar maklumat yang benar," katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 orang hadir di majlis doa selamat itu yang diadakan menyusuli kenyataan Ketua Polis Negara, Encik Abdul Hamid Bador pada Jumaat lepas, yang mengesahkan Encik Mohamed Azmin tidak dapat dikaitkan sebagai pelaku dalam penyebaran video lucah yang disebarkan baru-baru ini.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita